Written by 11:41 am Asia, Bola Sepak, Malaysia

Kedah Tiada Sebarang Rundingan Bersama Sanjar Shaakhmedov

Penyokong Kedah Darul Aman (Kedah) sudah boleh melupakan angan-angan untuk melihat pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov menyarung jersi Hijau Kuning.

Hal ini kerana tiada sebarang rundingan dilakukan antara Kedah dan pemain berbisa yang pernah beraksi bersama Terengganu selama dua musim tersebut.

Malahan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman, Khamal Idris Ali mendakwa berita yang mengaitkan Sanjar ke pasukannya hanyalah sekadar khabar angin sahaja.

Khamal Idris bersama ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak

“Benda tu (perpindahan Sanjar) tak sampai kepada pengetahuan saya pun, biasalah ‘rumours’ macam-macam (melibatkan) Hafizul Hakim dan ramai lagi nak datang ke Kedah dan sebagainya, tetapi tiada sebarang rundingan pun,” katanya ketika dihubungi Sukanz, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau yang pernah bermain bersama Kedah ketika era 90-an dahulu turut menyatakan kelima-lima pemain import mereka akan dikekalkan untuk mengharungi baki Liga Malaysia dan Piala AFC 2021.

Ketika ini, Kedah yang dibimbing oleh Aidil Sharin Sahak ini membariskan Anumanthan Kumar (Singapura), Rabih Ataya (Lubnan), Renan Alves (Brazil), Tchetche Kipre (Ivory Coast) dan Kpah Sherman (Liberia) sebagai pemain import mereka.

Antara pemain import penting pasukan Kedah, Tchetche Kipre

Bagaimanapun, penyokong-penyokong boleh menjangkakan kehadiran muka baharu dalam kalangan pemain tempatan memandangkan Kedah ingin melakukan sedikit perubahan untuk memperkukuhkan lagi pasukan.  

“Setakat ini, kedudukan (kita) tidak nampak sangat kritikal untuk gantikan pemain tetapi ada satu (atau) dua yang kita buat perubahan,”

“Rasanya (perubahan) tak besar pun dalam (usaha) kita nak kekalkan pasukan kita, ianya melibatkan pemain tempatan sahaja,” kongsinya tanpa mendedahkan nama-nama pemain yang bakal ditambatnya.

“Setakat ini, (kelima-lima) pemain import kita tak ‘kacau’, insya-Allah kita akan kekalkan,” tambahnya lagi.

Baca: Kedah Rancang ‘Makan Angin’ Di Langkawi Sebelum Ke Piala AFC

Beliau turut menjelaskan, mengikat pemain baharu pada pertengahan musim memerlukan pihaknya meneliti pelbagai faktor seperti kewangan, prestasi pasukan dan pemain sedia ada.

Justeru, keputusan tersebut memerlukan penelitian supaya kehadiran pemain baharu tersebut dapat memberikan impak yang positif kepada pasukan secara keseluruhannya.

Untuk makluman, jendela perpindahan pertengahan musim ini akan berakhir pada penghujung bulan ini iaitu 30 mei.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 4,910 times, 1 visits today)
Close