Artikel

Kedah Rancang ‘Makan Angin’ Di Langkawi Sebelum Ke Piala AFC

Pusat peranginan terkenal tanah air, Langkawi mungkin dijadikan lokasi untuk skuad Kedah Darul Aman (Kedah) ‘makan angin’ sebelum terbang ke Singapura untuk menyertai saingan Piala AFC.

Bagaimanapun, ‘makan angin’ ini bukanlah bermaksud skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ke sana untuk berehat dan bercuti di pulau tersebut. 

Sebaliknya, mereka ke Langkawi untuk menjalani latihan secara ‘Camp Based Training’ sepertimana yang diarahkan oleh Malaysian Football League (MFL) susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Tambahan pula, kerajaan telah mengumumkan daerah Kota Setar dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sekaligus membataskan segala aktiviti sukan di kawasan terbabit.

Khamal Idris bersama Aidil Sharin Sahak

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman, Khamal Idris Ali memaklumkan, selain daripada Langkawi, mereka turut menilai beberapa lokasi PKP lain di luar daerah Kota Setar sebelum menghantar permohonan kepada MFL. 

“Kita ada beberapa alternatif yang telah kita rancang (camp based training), antaranya Langkawi dan beberapa tempat yang lain, kita dalam proses mengenal pasti (lokasi) sebelum mendapatkan kebenaran dan sebagainya,” kata Khamal kepada Sukanz.

Baca: Kedah Tiada Sebarang Rundingan Bersama Sanjar Shaakhmedov

Kaedah ‘Camp Based Training’ ini memerlukan pasukan mengemukakan pelan latihan, keselamatan dan ujian PCR serta dikehendaki menamakan venue latihan dan penginapan kepada MFL. Sekiranya permohonan pasukan diluluskan, mereka boleh mula menjalani latihan secara penuh pada bila-bila masa.

Untuk makluman, Kedah akan mengharungi perlawanan pertama peringkat Kumpulan H bertemu wakil Indonesia, Persipura Jayapura pada 29 jun kelak.

Featured Image: FA Kedah

komen