Written by 11:25 am Bola Sepak, Eropah, Lain-Lain • One Comment

Niat Ronaldo Pulang Ke Man Utd Telah Diberitahu Kepada Khabib Sebulan Lalu

Bekas pemenang Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov tidak terkejut dengan kepulangan rakannya, Cristiano Ronaldo ke bekas kelabnya, Manchester United.

Lebih menarik, Khabib atau turut dikenali sebagai ‘The Eagle’ mendedahkan niat penyerang kelahiran Madeira, Portugal itu telah diberitahu kepadanya sejak sebulan yang lalu.

Baca: Khabib ‘Nasihat’ Rakannya, Cristiano Berhijrah Tetapi Elakkan Sertai PSG

Perpindahan pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu dimuktamadkan oleh Man Utd dengan diberikan kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan selama setahun.

Hari ini, Man Utd turut mengesahkan memberikan jersi ikonik No.7 kepada Ronaldo sepertimana yang pernah disarungnya ketika menyertai skuad Red Devils dari tahun 2003 hingga 2009.

“Sebulan lalu, dia telah beritahu kepada saya yang dia akan berpindah ke Manchester United,” kongsi Khabib seperti dilaporkan oleh portal Russia Today.

“Saya sudah menjangkakan urusan perpindahan ini akan berlaku. Saya berpendapat Manchester United lebih sesuai untuknya berbanding Juventus. 

“Bagi saya, perpindahan tersebut bukanlah satu kejutan.” tambahnya lagi.

Kedua-dua atlet ini sudah diketahui mempunyai hubungan yang akrab walaupun masing-masing berkecimpung dalam sukan yang berbeza.

Keakraban Khabib bermula ketika Ronaldo beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid. Tambahan pula Khabib juga merupakan penyokong skuad Los Blancos.

Sementara itu, Ronaldo turut mengikuti rapat perkembangan Khabib di dalam ‘octagon’ dan pernah mendoakan kemenangan rakannya itu sebelum menentang Justin Gaethje pada aksi UFC 254 menerusi Instagram Live.

Malahan Khabib turut mendedahkan dia dan Ronaldo kerap berhubung antara satu sama lain untuk berbicara mengenai mencari dan mengekalkan motivasi.

(Visited 2,900 times, 1 visits today)
Close