Written by 1:43 pm Bola Sepak, Malaysia • One Comment

Presiden FIFA: Kejuaraan JDT Hasil Kerja Keras, Keghairahan & Komitmen Semua Orang di Kelab

Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Liga Super 2021 turut mendapat perhatian Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Menerusi sepucuk surat yang diutus kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin, beliau mengucapkan tahniah kepada skuad Harimau Selatan yang mengesahkan kejuaraan secara matematik setelah menumpaskan Sri Pahang 3-0 pada perlawanan ke-20 liga, Jumaat lalu.

Surat yang diutus oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino kepada FAM

“Kejuaraan ini, tanpa keraguan, hasil daripada kerja keras, keghairahan dan komitmen, dan semua orang di kelab boleh berbangga dengan pencapaian hebat ini.

“Saya sangat berterima kasih jika anda (Hamidin) boleh menyampaikan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat, kepada sesiapa yang terus bekerja dengan semangat berpasukan, keghairahan dan keazaman.” tulisnya dalam surat tersebut.

Baca: JDT Rangkul Kejuaraan Liga Super Ke-8 Berturut-Turut

Untuk makluman semua, ini merupakan kejuaraan Liga Super kelapan berturut-turut yang dimenangi oleh JDT. Mereka memenanginya buat kali pertama pada tahun 2014 sejak dipimpin oleh DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Sebagai rekod, ini bukanlah kali pertama JDT mendapat ucapan tahniah daripada presiden badan induk bola sepak dunia tersebut. Gianni turut mengutus surat mengucap tahniah ketika mereka menjuarai Liga Super buat kali ke-6 pada tahun 2019.

Sementara itu, menerusi makluman oleh kelab berpangkalan di selatan semenanjung tanah ini, satu sambutan meraikan kejuaraan kelapan Liga Super akan dilangsungkan pada 12 September kelak.

Sambutan tersebut merangkumi persembahan trofi, pertunjukan bunga api dan persembahan khas selepas daripada perlawanan terakhir liga, menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Sultan Ibrahim.

Featured Image: MFL

(Visited 119 times, 1 visits today)
Close