Written by 4:23 pm Lain-Lain

Rashid Sidek Akan Terus Melatih Liek Hou Sehingga Paralimpik 2024

Bekas jaguh badminton negara, Datuk Abdul Rashid Sidek akan terus menjadi jurulatih kepada pemenang pingat emas temasya paralimpik, Cheah Liek Hou sehingga ke temasya berikutnya, Sukan Paralimpik Paris 2024.

Walaupun telah memenangi pingat emas, anak didiknya yang beraksi dalam acara badminton perseorangan lelaki kategori SU5 itu belum merasa puas. 

Atlet berusia 33 tahun tersebut berkeyakinan tinggi dapat beraksi di temasya berikutnya lebih-lebih lagi ia akan dilangsungkan dalam tempoh tiga tahun sahaja lagi.

Cheah Liek Hou – Foto: MSN

Baca: ‘Invincible’ Liek Hou Sumbang Pingat Emas Ke-2 Untuk Malaysia

Sebagai rekod, Rashid yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 mula menjadi jurulatih kepada Liek Hou pada penghujung tahun 2019.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana membantu kami membuat persiapan untuk Paralimpik Tokyo.

“Sejak dari mula lagi saya telah mengetahui bahawa Liek Hou merupakan prospek pingat emas.

“Dia merupakan seorang atlet yang sangat berdedikasi, dan jika kita lihat kepada catatan rekodnya sejak dua tahun lalu, ia sangat hebat.

“Saya akan terus melatih Liek Hou bersama-sama atlet normal untuk mengekalkan tahap di peringkat yang tertinggi,” kata Rashid seperti dipetik daripada New Straits Times.

Rashid Sidek (kiri) dan Cheah Liek Hou (kanan) – Foto: MSN

Baca: ‘Dalam Rezeki Saya, Ada Juga Rezeki Orang Lain’ – Liek Hou Mahu Sedekah Sebahagian Ganjaran Emas Paralimpik

Sementara itu, Rashid akan mempersiapkan Liek Hou untuk terbang ke Tokyo sekali lagi bagi mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia Badminton Para 2021.

Kejohanan ini akan berlangsung bermula 25 hingga 31 Oktober kelak.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

(Visited 2,347 times, 1 visits today)
Close