Written by 3:05 pm Bola Sepak, Malaysia

Pemilik Kelantan Tertarik Dengan Skil & Bakat Pemenang Anugerah Puskas?

“Saya berminat dengan En Faiz Subri. Skil dan bakatnya perlu di TRW (The Red Warriors).” tulis pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menerusi laman sosialnya.

Norizam memuat naik posting tersebut sambil mengepilkan tangkap layar sebuah berita berkenaan Faiz Subri – pemain asia pertama memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) – yang menangguhkan hasratnya untuk berkelana ke Hungary.

Tangkap layar status yang dimuat naik oleh Norizam Tukiman

Untuk makluman semua, Faiz berjaya merangkul anugerah berprestij tersebut pada tahun 2016 apabila sepakan percuma jarak jauhnya yang melawan ‘hukum fizik’ terbang cantik dan mengelirukan penjaga gol lawan sebelum menerjah lawan ketika menentang Pahang dalam saingan Liga Super.

Artikel Berkaitan: Pemilik TRW Kelantan FC Tarik Minat Pelabur Baharu Untuk Bangunkan Pasukan?

Sekiranya minat yang diluahkan oleh Norizam yang juga merupakan seorang pelabur dan usahawan itu dijelmakan dengan usaha untuk menandatangani Faiz secara serius, ia boleh disimpulkan sebagai sirih pulang ke gagang memandangkan pemain sayap berusia 33 tahun itu pernah beraksi bersama TRW suatu masa dahulu.

Faiz Subri ketika beraksi bersama Pulau Pinang pada tahun 2017

Walaupun kelibat Faiz dalam kancah bola sepak profesional tempatan tidak lagi kelihatan setelah meninggalkan pasukan Pulau Pinang pada tahun 2019 yang lalu, pemain ini belum lagi mengumumkan menggantungkan butnya. Kelibatnya masih dapat dilihat bersama pasukan amatur dan ‘semi-professional’ seperti Northern Lions Football Club dan Kuala Kangsar FC.

Artikel Berkaitan: Marco Tidak Lagi Bimbing Kelantan, Tugas Dipikul Oleh Rezal Zambery

Selain itu, sekiranya Norizam serius untuk mengikat Faiz menyertai pasukannya, kehadirannya ke dalam pasukan Kelantan boleh memberikan impak dari segi pengalamannya terutamanya kepada majoriti pemain-pemain muda di dalam pasukan tersebut untuk mengharungi saingan Liga Premier, musim hadapan.

Featured Image: FIFA Football Awards

(Visited 10,492 times, 1 visits today)
Close