Written by 2:16 pm Badminton, Malaysia

Ranking BWF: Semi-finalis Terbuka Denmark Sze Fei-Izzuddin Memasuki Kelompok 20 Beregu Terbaik Dunia

Kejayaan pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin mara ke peringkat separuh akhir kejohanan Terbuka Denmark 2021 nyata memberikan peningkatan yang ketara terhadap ranking mereka.

Menerusi kemaskini terbaru ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Sze Fei-Izzuddin yang sebelum ini menghuni tangga ke-26 dunia telah berada di kelompok 20 pasangan beregu lelaki terbaik dunia.

Kemaskini tersebut memperlihatkan Sze Fei dan Izzuddin yang berusia 24 dan 23 tahun masing-masing mencatatkan peningkatan 7 anak tangga sekaligus membolehkan mereka menghuni ranking ke-19 dunia.

Untuk pengetahuan semua, kedudukan ke-19 dunia ini merupakan rekod terbaik pernah dicapai oleh pasangan beregu ini sejak digandingkan pada tahun 2016.

Man Wei Chong dan Tee Kai Wun

Baca: BAM Lantik Kembali Individu Yang Menaikkan Kien Keat-Boon Heong, Beregu No.1 Dunia Masa Lalu

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu lelaki negara iaitu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan dalam kedudukan ranking dunia.

Kejayaan mereka menjadi naib juara Terbuka Czech membolehkan mereka mencatatkan peningkatan 24 anak tangga sekaligus meletakkan Wei Chong-Kai Wun ini di kedudukan ke-102 dunia pada saat ini.

Akhir sekali, tiada sebarang pergerakan ranking dikesan melibatkan pasangan beregu negara yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. 

Walaupun tersingkir pada Pusingan 16 kejohanan Terbuka Denmark pada minggu lalu, Aaron Chia-Wooi Yik masih kekal berada dalam kelompok 10 terbaik dengan menduduki tangga ke-8 dunia.

Featured Image: Badminton Photo

(Visited 25,904 times, 1 visits today)
Close