Liga Hoki Remaja Platform Untuk Pilih Pemain Sertai Piala Dunia 2023
July 5, 2021 Hafizuddin Omar

Badan induk hoki negara, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengesahkan akan menganjurkan kejohanan untuk pemain remaja, TNB Malaysian Junior Hockey League atau TNB Liga Hoki Remaja bermula Disember ini.

Menurut Presiden MHC, Dato’ Sri Subahan Kamal berkata kejohanan ini merupakan platform untuk mengasah bakat pemain-pemain muda menerusi perlawanan yang kompetitif untuk mempersiapkan mereka sebelum menghadapi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023.

Bagaimanapun, belum ada sebarang tarikh penganjuran saingan setakat ini dan ianya diumumkan secara rasmi oleh MHC dalam masa yang terdekat.

“Ini adalah permulaan dimana kita hendak mengadakan satu liga yang mantap dan akan disaingi oleh semua pemain-pemain remaja hoki di tanah air, 

“Perkara ini cukup penting untuk kami memilih dan mengasah bakat untuk kami ada satu pasukan hoki negara yang kuat mampu bersaing dengan gergasi-gergasi dunia pada tahun 2023,” kata Subahan menerusi satu video yang dimuat naik oleh laman sosial Malaysian Hockey League, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: Malaysia Tuan Rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023

Pada masa yang, beliau mengharapkan pasukan-pasukan yang akan mengambil bahagian dapat menyiapkan pasukan yang mantap untuk mengharungi kejohanan Liga Hoki Remaja ini.

Beliau turut memaklumkan, barisan kejurulatihan skuad kebangsaan akan memerhatikan saingan ini bagi untuk menilai pemain yang berbakat untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

“Ini adalah cukup penting kerana dalam kejohanan ini semua jurulatih-jurulatih kebangsaan negara yang khususnya terlibat dengan pasukan remaja negara akan menggunakan kejohanan ini sebagai satu medan dimana mereka akan memilih bakat-bakat yang dilihat untuk diserapkan dalam pasukan kebangsaan,” 

“Pada tahun 2023, Malaysia pastinya perlu menyiapkan satu pasukan yang gagah dan kuat untuk dapat membuat satu kejutan yang besar kepada peminat hoki dunia dimana kita pastinya mencapai satu keputusan yang akan membanggakan seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

Untuk makluman, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) telah mengumumkan Malaysia terpilih sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023, pada jumaat lalu.

Featured Image: Malaysian Hockey Confederation

Komen