Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membuat keputusan dan memaklumkan akan menghantar skuad Malaysia Bawah 20 Tahun (B-20) untuk mengharungi pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022.
Menurut Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan tujuan utama menghantar skuad negara B-20 ini adalah untuk memberikan pendedahan dan mempersiapkan kelompok pemain ini bagi melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Baca: Malaysia Hantar Skuad B-20 Untuk Harungi Kelayakan Piala Asia B-23, kata Ong Kim Swee
Ini bermakna, hanya pemain yang lahir pada dan selepas Januari 2001 sahaja yang akan diberikan perhatian oleh FAM untuk disenaraikan di dalam skuad yang akan dibimbing oleh jurulatih kelahiran Australia, Brad Maloney.
Di sini, Sukanz senaraikan 11 pemain berdasarkan formasi kegemaran Coach Brad iaitu 3-4-3 yang boleh menjadi sandaran untuk menghadapi pusingan bertemu Laos, Mongolia dan Thailand yang akan berlangsung dari 23 hingga 31 Oktober kelak:
Penjaga Gol: Sikh Izhan Nazrel

Umur: 19 Tahun
Kelab: Selangor
Penjaga gol yang tidak asing lagi bersama skuad Malaysia B-18. Sikh mula beraksi secara profesioanl bersama skuad simpanan/reserved, Selangor 2. Akan tetapi pemain kelahiran Pulau Pinang ini sudah mula menempatkan namanya selaku penjaga gol ketiga skuad senior Selangor, musim ini.
Pertahanan: Firdaus Ramli

Umur: 19 Tahun
Kelab: JDT II
Firdaus Ramli antara muka yang sering membarisi skuad Brad Maloney. Dia juga merupakan sebahagian skuad kebangsaan yang muncul sebagai naib juara Kejohanan Piala AFF B-18 2019. Ketika ini beraksi bersama JDT II dan baru-baru ini Firdaus merupakan antara pemain yang turut serta dibawa oleh JDT ke saingan Liga Juara-Juara AFC.
Pertahanan: Harith Haikal Adam Afkar

Umur: 19 Tahun
Kelab: Selangor 2
Juga merupakan antara muka yang sering bersama skuad B-18 kendalian Brad Maloney. Ketika ini, dia antara pemain ‘regular’ yang beraksi bersama skuad simpanan/reserved, Selangor 2 dalam saingan Liga Premier.
Pertahanan: Aidil Azuan

Umur: 20 Tahun
Kelab: Selangor 2
Namanya mula mencuri perhatian ketika bersama PKNP FC pada tahun 2018. Selepas PKNP FC digabungkan bersama pasukan Perak, Aidil disambar oleh Selangor 2. Juga antara tonggak penting Selangor 2 dalam saingan Liga Premier pada ketika ini.
Wing-back Kiri: Umar Hakeem Suhar Redzuan

Umur: 19 Tahun
Kelab: JDT II
Merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang pernah hangat selepas mempamerkan aksi yang memberangsangkan bersama skuad Malaysia B-18. Selain itu, Hakeem turut mempunyai pengalaman beraksi di pentas Sukan SEA 2019 di Filipina. Ketika ini, dia beraksi bersama JDT II.
Pemain Tengah: Wan Kuzri Wan Kamal

Umur: 19 Tahun
Kelab: STLFC Academy U-19
Buat anda yang tidak tahu, Wan Kuzri merupakan adik kepada Wan Kuzain. Lahir di Amerika Syarikat namun ibu dan bapanya merupakan orang Malaysia. Ketika ini, Wan Kuzri beraksi bersama skuad Akademi Saint Louis FC Bawah 19 Tahun (B-19). Tahun lalu, dia telah dipanggil untuk menyertai latihan pusat kendalian Brad Maloney.
Pemain Tengah: Mukhairi Ajmal

Umur: 20 Tahun
Kelab: Selangor
Sepertimana Aidil Azuan, pemain tengah yang sedang meningkat naik ini juga mencuri tumpuan ketika beraksi bersama PKNP FC pada tahun 2018 yang lalu. Selepas daripada itu, dia menjadi antara watak utama dalam skuad Brad Maloney. Saat ini, Mukhairi secara perlahan-lahan cuba merebut peluang beraksi bersama skuad senior Selangor.
Wing-back Kanan: Azam Azmi Murad

Umur: 20 Tahun
Kelab: Terengganu
Selain daripada menjadi pemain penting buat skuad Brad Maloney dalam saingan Kejohanan AFF B-18 dan Kelayakan Piala Asia B-19, Mukhairi juga menjadi tonggak utama Terengganu di pentas Liga Super musim ini. Pemain kelahiran Pulau Pinang ini mampu beraksi di mana-mana posisi di sebelah kanan.
Penyerang Kiri: Luqman Hakim

Umur: 19 Tahun
Kelab: KV Kortrijk
Tidak perlu diperkenalkan lagi, pemain yang disebut-sebut sebagai penyerang masa hadapan negara. Walaupun belum memecah kesebelasan utama kelabnya, KV Kortrijk secara tetap pada saat ini, nama Luqman sudah mula tersenarai dalam skuad senior kebangsaan.
Penyerang: Muslihuddin Atiq

Umur: 20 Tahun
Kelab: Terengganu II
Nama yang kurang menonjol berbanding Luqman Hakim namun Muslihuddin antara penyerang yang sering dipanggil Brad Maloney untuk membarisi skuad B-18 sebelum ini. Ketika ini, dia merupakan pemain skuad simpanan/reserved Terengganu II yang beraksi dalam saingan Liga Premier.
Penyerang Kanan: Arif Aiman Hanapi

Umur: 19 Tahun
Kelab: JDT
Pemain yang mula mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan pada musim ini. Walaupun bertubuh kecil, kelincahan, kelajuan dan keberaniannya telah membuatkan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora memberikan kepercayaan untuk beraksi dalam kesebelasan utama skuad Harimau Selatan. Baru-baru ini, dia juga turut meraih caps bersama skuad senior kebangsaan.
Apa pendapat anda mengenai kesebelasan utama ini? Atau ada cadangan pemain lain yang berusia 20 tahun dan ke bawah untuk membarisi skuad ini? Boleh tinggalkan di ruangan komen Facebook dan Twitter Sukanz.
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!