Basikal WX-R Azizul Bakal Dijual Pada Harga Mampu Milik
August 19, 2021 Hafizuddin Omar

Model basikal jenis WX-R yang digunakan oleh jaguh basikal negara, Dato’ Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom di temasya Sukan Olimpik bakal dijual pada harga mampu milik.

Namun yang dijual ini bukanlah 100% versi yang sama sepertimana ditunggang oleh dua Olympian ini ketika beraksi di Velodrom Izu, baru-baru ini.

Difahamkan pihak Institut Sukan Negara (ISN) sedang mengadakan rundingan untuk menghasilkan ‘jentera’ yang melalui proses pembuatan dipermudahkan (simplified) selain menggunakan bahan yang lebih murah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli, pihaknya akan memastikan harga jualan basikal versi ‘simplified’ tersebut lebih kompetitif dan mampu milik untuk digunakan oleh pelumba yang bertanding di pentas profesional mahupun antarabangsa. 

“Basikal jenis simplified ini disasarkan dijual di Asia Tenggara pada peringkat awal, kemudian seluruh dunia jika mendapat sambutan,” katanya seperti dipetik daripada Utusan Malaysia.

Untuk makluman semua, basikal yang digunakan oleh Azizul dan Shah Firdaus telah pun berada di pasaran sejak tahun lepas sebagai memenuhi syarat Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI). 

Namun ianya diletakkan pada harga yang tinggi. Sebuah basikal WX-R tersebut dianggarkan bernilai RM300,000.

Baca: Basikal WX-R Sengaja Diletakkan Harga RM300,000 – Ini ‘Rahsia’ Dikongsikan Azizulhasni Awang

“Basikal yang digunakan Azizul telah pun berada di pasaran sejak tahun 2020 bagi memenuhi syarat UCI (Kesatuan Basikal Antarabangsa).

“Basikal yang digunakan bagi berlumba perlulah diiklankan agar memberi peluang yang adil kepada negara-negara lain untuk mendapatkannya jika perlu,” jelasnya.

Sebagai rekod, basikal ini terhasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh ISN bersama-sama syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM serta Vorteq dan Wrox Bikes.

Komen