Kejohanan Piala Sudirman 2021 yang akan bermula pada penghujung bulan hadapan di Vantaa, Finland menyaksikan Malaysia diundi bersama-sama Jepun, England dan Mesir dalam Kumpulan D.
Untuk mara ke peringkat suku akhir pada kejohanan dwitahunan tersebut, pasukan negara matahari terbit iaitu Jepun dilihat sebagai pencabar utama buat Malaysia dalam Kumpulan D.
Perkara tersebut turut diakui oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann namun beliau berpandangan Malaysia perlu berwaspada agar tidak dikecewakan oleh England.
“Memang pasukan Jepun yang paling kuat tetapi untuk kita saya percaya dengan persediaan yang lebih yakin, terutamanya terhadap pasukan England yang perlu kita fokuskan.
“Memang kita memberi fokus untuk mengatasinya tetapi kita harus berwaspada. Untuk Mesir kita percaya itu (merupakan) satu peluang untuk mempamerkan pemain muda kita.
“Untuk pasukan Jepun, kita akan tengok situasi semasa nanti.” ulas Choong Hann mengenai hasil undian tersebut menerusi satu video yang dimuat naik oleh laman sosial BAM.
Baca: 3 Kejohanan Besar Menanti Pemain Badminton Selepas Sukan Olimpik
Pada masa yang sama, beliau mendedahkan persediaan untuk kejohanan Piala Sudirman serta Piala Thomas & Uber sedang giat dijalankan.
Penilaian prestasi juga sedang dijalankan dan senarai akhir pemain-pemain yang akan mewakili pasukan Malaysia akan diputuskan kelak.
Featured Image: BAM