Jaguh basikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang memaklumkan tidak akan menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 yang akan dilangsungkan di Roubaix, Perancis pada 20 hingga 24 Oktober hadapan.
Baca: Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2021 Diadakan di Perancis
Hal ini kerana pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman mahu mengurangkan penyertaan dalam mana-mana kejohanan pada tahun ini lebih-lebih lagi setelah berpenat lelah membawa pulang pingat perak dalam acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Dijangka bukan sahaja Azizul malahan pelumba-pelumba ternama lain seperti Jason Kenny (Great Britain) dan Harrie Lavreysen (Belanda) yang memenangi pingat emas dan gangsa masing-masing juga tidak akan menyertai kejohanan tersebut.
Tambah pelumba berusia 33 tahun ini lagi, pentas kejohanan berbasikal dunia tersebut seharusnya diberikan kepada pelumba-pelumba muda negara untuk mendapatkan pengalaman di pentas antarabangsa.
“Untuk tahun ini saya cuba kurangkan dahulu perlumbaan sebab persiapan untuk (temasya) Olimpik Tokyo ni sangat berintensiti dan (memberi) tekanan ke atas saya,”

“Saya memerlukan sedikit masa untuk berehat daripada (menyertai) pertandingan, saya akan bagi pelumba-pelumba muda yang lain pergi (mengambil bahagian) untuk mendapatkan pengalaman,” katanya di hadapan para wartawan dalam sidang media Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Tokyo 2020, minggu ini.
Pada masa yang sama, Azizul atau turut mesra dengan panggilan Jijoe memaklumkan dia akan kembali beraksi di pentas antarabangsa dengan menyertai dua temasya iaitu Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
“Kejohanan besar saya pada tahun hadapan, Insya-Allah, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, dan diharapkan saya dapat beraksi dengan cemerlang (pada temasya itu).” ujarnya lagi.