Setelah kejayaan Bonnie Bunyau Gustin meraih emas pada sabtu lalu, acara angkat berat sekali lagi memberikan kilauan pingat buat Kontinjen Malaysia dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Kali ini, atlet para negara, Jong Yee Khie berhasil meraih pingat perak dalam acara para powerlifting bagi kategori 107 kilogram (kg) dalam aksi final yang berlangsung sebentar tadi.
Atlet berusia 32 tahun, kelahiran Kuching, Sarawak ini berhasil meraih pingat perak setelah berjaya melakukan angkatan terbaiknya iaitu pada percubaan kedua seberat 237kg.
Beliau mahu melakukan angkatan seberat 245kg pada percubaan ketiga, sayang sekali, ianya tidak dapat disudahkan dengan jayanya.
Untuk makluman, rekod angkatan seberat 237kg tersebut merupakan rekod terbaiknya sejak bergiat dalam acara para powerlifting bermula tahun 2008.
Sebagai tambahan, pingat emas dalam acara ini di bawa pulang oleh atlet para Mongolia, Sodnompiljee Enkhbayar yang berjaya melakukan angkatan terbaik seberat 245kg.
Sementara itu, pingat gangsa dimenangi oleh atlet para Iran, Saman Razi dengan angkatan terbaik seberat 231kg.
Featured Image: Majlis Sukan Negara