CEO Digital Durian Terkejut Besar Paul Pogba Tonton Rancangan Omar & Hana
September 18, 2021 Hafizuddin Omar

Siapa sangka pemain tengah Manchester United & Perancis, Paul Pogba menjadikan siri animasi berunsurkan islamik, Omar & Hana sebagai hiburan bersama keluarganya.

Pemain tengah berusia 28 tahun tersebut dilihat menonton siri berkenaan apabila berkongsikan mengenai TV baharu miliknya di laman sosial, tengah malam tadi.

Foto yang dimuat naik di akaun Facebook dan Instagram pemain tersebut yang juga merupakan seorang muslim terpampang jelas siri animasi yang dicipta oleh syarikat tempatan, Digital Durian.

Baca: Pemain Manchester United, Paul Pogba Gemar Makan ‘Karipap’?

Untuk makluman semua, selain daripada menyajikan kandungan dalam bahasa melayu, siri Omar & Hana juga mempunyai versi bahasa inggeris yang diperkenalkan pada 2018 yang lalu.

Pada saat ini, siri Omar & Hana versi berbahasa inggeris telah mengumpul lebih 900,000 ‘subscribers’ di saluran Youtube-nya dari seluruh dunia.

Selain itu, siri Omar & Hana turut boleh ditonton dalam versi bahasa arab dan urdu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Durian, Sinan Ismail turut terkejut besar apabila mengetahui mengenai perkara tersebut pada pagi tadi.

“Terima kasih Pogba kerana memilih Omar & Hana untuk ditontonkan kepada anak-anak anda. Kami berharap ianya dapat memanfaatkan anda, anak-anak dan keluarga.”

“Jikalau anda mahukan maskot Omar & Hana membuat kejutan pada ulang tahun kelahiran anak-anak anda, boleh bagitahu kami!” kata Sinan menerusi satu muat naik di akaun Linkedin miliknya.

Sebagai tambahan, selain daripada siri animasi Omar & Hana, Digital Durian merupakan syarikat disebalik sebuah lagi siri animasi yang terkenal dalam kalangan rakyat tempatan iaitu Didi & Friends.

Komen