Walaupun ‘Peluh’ Olimpik Belum Kering, Semangat Tetap Menggunung Untuk Hadapi Piala Sudirman 2021
September 22, 2021 Hafizuddin Omar

Walaupun terpaksa menjalani tempoh rehat yang pendek setelah pulang daripada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Ogos lalu, atlet-atlet badminton negara yang beraksi dalam temasya tersebut tetap bersemangat dan memberikan komitmen tinggi dalam membuat persiapan untuk mengharungi kejohanan Piala Sudirman 2021.

Antara atlet-atlet temasya Olimpik yang tersenarai dalam skuad Piala Sudirman adalah pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia serta beregu lelaki yang memenangi pingat gangsa Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Keletihan atlet-atlet yang beraksi di temasya Olimpik itu turut difahami oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann namun kesemuanya berada dalam keadaan bersedia untuk mengharungi kejohanan yang akan bermula pada Sabtu ini.

Baca: Kenali Pemain-Pemain Muda Malaysia Yang Akan Beraksi di Piala Sudirman 2021

Wong Choong Hann – Foto: BAM

“Berdasarkan pada perlawanan simulasi dalaman yang dilakukan baru-baru ini, semua pemain berada pada tahap yang memuaskan dan sudah pasti bersedia untuk memberi tentangan kepada lawan masing-masing.

“Saya memahami ada antara pemain terutama yang baru pulang dari Olimpik Tokyo terpaksa berhadapan dengan latihan ketat dengan waktu rehat agak terhad namun mereka tetap bersemangat untuk menyertai kejohanan itu.

“Oleh itu, kita akan fokus kepada matlamat iaitu melangkah ke pusingan seterusnya dan mencipta keputusan positif pada kejohanan Piala Sudirman,” katanya seperti dipetik daripada Harian Metro.

Baca: Jepun Paling Kuat Tetapi Waspada Ancaman England

Untuk makluman semua, pasukan Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama-sama naib juara edisi 2019 iaitu Jepun serta ditemani oleh England dan Mesir.

Sebagai tambahan, pasukan Malaysia yang diketuai Zii Jia selaku kapten dimaklumkan telah berlepas dari tanah air menuju ke Vantaa, Finland.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen