Skuad kebangsaan dinasihatkan agar tidak mengambil mudah cabaran dua buah pasukan yang menduduki ranking ke-178 dan ke-186 dunia iaitu Kemboja dan Laos dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 kelak.
Perkara tersebut dinyatakan oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe selepas menyaksikan hasil undian yang meletakkan Malaysia bersama-sama juara bertahan, Vietnam serta Indonesia, Kemboja dan Laos dalam Kumpulan B.
Sebagai rekod, Vietnam kini merupakan satu-satunya pasukan dari rantau asia tenggara yang menghuni kelompok 100 terbaik dunia iaitu di kedudukan ke-95. Sementara itu, Malaysia di tangga ke-154 manakala Indonesia pula berada di kedudukan 175 dunia.
“Undian kali ini tidak nampak banyak perbezaan kerana sebut sahaja asia tenggara, negara-negara tersebut termasuk pertandingan peringkat umur pun kita akan jumpa (mereka).”
“Ramai sudah mengenali pasukan atau negara-negara tersebut,”
“Sudah tentu, Vietnam merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan kita dan yang penting kita hadapi satu perlawanan pada satu masa,”
“Pada masa yang sama, kita bukan sahaja fokus kepada lawan Vietnam, kita tahu Indonesia sememangnya seteru atau musuh tradisi kita.”
“Dan, sudah tentu, Kemboja pun kita tidak boleh ambil mudah kerana mereka juga ada pemain-pemain yang berbakat, dan juga Laos, mereka (walaupun) dikatakan (berada) dalam balang kelima tetapi kita perlu fokus setiap perlawanan.” katanya menerusi satu video yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sementara itu, jurulatih berusia 53 tahun ini memaklumkan barisan kejurulatihannya akan memantau pemain-pemain yang akan dipanggil untuk membarisi skuad Harimau Malaya dalam kejohanan ini.
“Barisan jurulatih akan sentiasa memantau prestasi pemain-pemain kita, pada masa yang sama, kita juga perlu melihat persiapan pasukan negara-negara lain tetapi macam saya bagitahu Vietnam, mereka berada dalam kelayakan Piala Dunia fasa akhir jadi memang boleh nampak mereka berada dalam tahap yang lain,”
“Kita mengharapkan pemain-pemain yang dipanggil dapat memberi sumbangan yang terbaik kepada skuad kebangsaan,” tambahnya lagi.
Untuk makluman semua, saingan Piala AFF kali ini akan berlangsung bermula 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022. Disebabkan rantau asia tenggara masih dilanda pandemik Covid-19, kejohanan ini akan diadakan secara ‘venue’ berpusat.
Bagaimanapun venue tersebut masih belum ditentukan secara rasmi dengan Kemboja, Singapura dan Thailand disebut-sebut antara yang disebut untuk dipilih sebagai tuan rumah.
Featured Image: AFF Suzuki Cup