Artikel

Penunggang Sukan Berbasikal Disarankan Mempunyai Lesen, Boleh Dimohon Menerusi PKBM

Kebelakangan ini, aktiviti sukan basikal kian menjadi trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia juga merupakan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan.

Bagaimanapun, aktiviti kayuhan basikal terutamanya di jalan raya boleh mengundang bahaya dan kemalangan sekiranya tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan.

Justeru, penunggang sukan berbasikal di dalam negara disaran untuk mengambil lesen menerusi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan boleh berfungsi sebagai ‘insurans’ sekiranya berlaku sebarang kecelakaan.

Perkara tersebut disarankan oleh Setiausaha Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL), Firdaus Arshad bagi menjaga keselamatan penunggang terutamanya yang baru sahaja berjinak-jinak dalam sukan ini.

“Sebagai seorang penunggang basikal, anda perlu mempunyai lesen berbasikal yang boleh dimohon di Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia,

“Lesen tersebut boleh digunakan sebagai ‘insurans’ untuk keselamatan penunggang sendiri” katanya seperti dipetik daripada SatuBerita.

Foto: PKBM

Baca: Basikal Perlu Lesen & Plat? – Ini Komen Pelumba Negara, Azizulhasni Awang

Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepada penunggang untuk mengenali garis panduan dalam melakukan aktiviti kayuhan basikal dengan menyertai mana-mana komuniti sukan berbasikal.

Hal ini penting supaya penunggang basikal tidak mengundang bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain apabila melakukan aktiviti kayuhan tersebut.

“Ramai orang yang telah memilih sukan berbasikal sebagai aktiviti rekreasi untuk mereka. Namun ramai juga yang tidak tahu akan garis panduan yang betul untuk menunggang basikal di jalan raya,”

“Kepada penunggang yang baru, libatkan diri dalam kayuhan secara berkumpulan kerana ia lebih selamat dan lebih banyak ilmu mengenai keselamatan menunggang basikal boleh dipelajari daripada komuniti tersebut,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut menasihatkan para penunggang basikal untuk memakai peralatan keselamatan apabila melakukan aktiviti kayuhan supaya dapat mengelakkan kemalangan.

Sebagai tambahan, lesen berbasikal ini bukanlah satu perkara yang wajib daripada PKBM mahupun pihak kerajaan sendiri kepada semua pengguna basikal termasuk aktiviti kayuhan riadah.

Ia merupakan satu syor dan saranan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan peminat sukan berbasikal terutamanya di jalan raya.

Bagi yang ingin mengetahui garis panduan, syarat-syarat serta kelebihan memohon LESEN BERBASIKAL daripada PKBM, anda boleh klik link INI.

Featured Image: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia

komen