Artikel

Kelayakan Piala Asia B-23: FAM Batal Perancangan Hantar Pemain Berusia 20 Tahun & Ke Bawah Sahaja?

Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah membatalkan perancangan untuk menghantar pemain-pemain berusia 20 tahun dan ke bawah sahaja pada kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) pada penghujung Oktober kelak?

Pada hari ini, FAM mengumumkan senarai 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Fasa 2 melibatkan skuad kebangsaan B-20 kendalian Brad Maloney menerusi laman sesawang rasminya.

Dalam kalangan 25 pemain tersebut, 7 daripadanya merupakan pemain-pemain yang berusia melebihi 20 tahun iaitu Saiful Iskandar Adha, Nik Akif Syahiran, Syed Muhammad Nasrulhaq, K. Thivandaran, Muhammad Azri Ghani yang berusia 22 tahun serta Muhammad Syafik Ismail dan Muhammad Hairiey Hakim yang berumur 21 tahun masing-masing.

Penjaga gol Perak FC, Azri Ghani – Foto: FAM

Jika dilihatkan kepada senarai pemain ini, nampaknya FAM bakal menghadapi pusingan kelayakan ini dengan melakukan sedikit ‘u-turn’ berbanding pelan asalnya untuk menggunakan pemain-pemain B-20 sahaja seperti mana dijelaskan oleh bekas Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee pada bulan Julai lalu.

Difahamkan perancangan tersebut dilakukan bagi menyiapkan kelompok pemain berusia 20 tahun dan ke bawah ini bagi menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 kelak.

Artikel Berkaitan: Malaysia Hantar Skuad B-20 Untuk Harungi Kelayakan Piala Asia B-23, kata Ong Kim Swee

Senarai penuh 25 pemain yang dipanggil oleh Coach Brad – Grafik: FAM

Sementara itu, menerusi makluman yang sama oleh FAM pada hari ini, badan induk tersebut akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain sebelum daripada mereka terbang ke Ulaanbaatar, Mongolia pada 20 Oktober nanti.

Tambah makluman itu lagi, senarai akhir pemain skuad B-20 akan turut disertai oleh empat pemain skuad senior kebangsaan iaitu Mukhairi Ajmal, Hakimi Abdullah, Quentin Cheng dan Luqman Hakim Shamsudin selepas mereka selesai tugas antarabangsa bersama skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Artikel Berkaitan: Cheng Hoe Panggil 6 Muka Baharu Sertai Skuad Kebangsaan Hadapi Jordan & Uzbekistan

Sebagai tambahan, kelayakan Piala Asia B-23 menyaksikan Malaysia yang diundi dalam Kumpulan J dijadualkan bertemu Laos pada 25 Oktober diikuti aksi menentang pasukan tuan rumah, Mongolia pada 28 Oktober dan perlawanan terakhir menentang skuad jiran tetangga, Thailand pada 31 Oktober 2021.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen