Ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia, Shin Tae-yong menyenaraikan ketiga-tiga pemain negara itu yang beraksi dalam kancah Liga Super untuk memperkuatkan skuad Garuda.
Tiga pemain tersebut ialah pemain tengah, Syahrian Abimanyu (Johor Darul Ta’zim), pemain sayap, Saddil Ramdani (Sabah) dan pertahanan, Ryuji Utomo (Penang) bersama-sama 27 pemain lain.
Perkara tersebut diumumkan oleh badan induk bola republik berkenaan, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Artikel Berkaitan: Shin Tae-yong Anggap Vietnam & Malaysia Pasukan Yang Kuat
Mereka dipanggil untuk jurulatih kelahiran Republik Korea tersebut untuk dibawa ke Thailand bagi menghadapi Chinese Taipei dalam pusingan play-off kelayakan Piala Asia 2023 secara timbal balik pada 7 dan 11 Oktober kelak.
Selain daripada tiga pemain ini, Shin turut memanggil tiga lagi pemain mereka yang beraksi di luar negara iaitu Egy Maulana Vikri (FK Senica, Slovakia), Witan Sulaeman (Lechia Gdansk, Poland) dan Asnawi Mangkualam (Ansan Greeners, Republik Korea).
Kesemua 30 pemain yang dipanggil ini akan menjalani kem latihan pusat di Jakarta terlebih dahulu sebelum berangkat ke Bangkok pada 3 Oktober nanti.