Artikel

Pemain Naturalisasi Matdon Mula Berlatih Bersama Odisha FC di India

Pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi dimaklumkan telah memulakan latihan pertamanya bersama kelab baharu, Odisha FC yang berpangkalan di India, semalam.

Sesi latihan pertama Liridon atau lebih dikenali sebagai Matdon dalam kalangan peminat bola sepak tempatan itu dimaklumkan menerusi platform media sosial kelab terbabit.

Difahamkan, pemain tengah berusia 29 tahun tersebut tiba di kelab yang berpangkalan di negeri yang terletak di timur India itu pada hari Jumaat yang lalu.

“Hari ini bermulanya kisah baharu. Saya bersyukur kepada tuhan atas kesihatan saya dan perjalanan baharu serta peluang baharu.

“Saya mendoakan semua sihat dan berjaya dalam hidup serta tersenyum riang setiap hari. Jangan putus asa dengan impian anda. Matdon dalam perjalanan, siap sedia India.” kongsinya menerusi Instagram Story sebelum terbang ke India.

Artikel Berkaitan: Kelab India, Odisha FC Umum Ikat Liridon Krasniqi Secara Pinjaman

Untuk makluman semua, Matdon telah diikat oleh kelab yang beraksi dalam saingan Liga Super India (ISL) secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengharungi musim 2021-2022.

Selain itu, perjanjian pinjaman oleh Odisha turut diselitkan dengan klausa pembelian secara tetap daripada pasukan yang mendapat julukan Harimau Selatan itu.

Sebagai rekod, Matdon diikat oleh JDT pada penghujung tahun 2019. Pada Februari lalu, JDT yang dibimbing oleh Benjamin Mora mengumumkan meminjamkan pemain ini kepada kelab berpangkalan di Australia iaitu Newcastle Jets.

Featured Image: Odisha FC

komen