Kelibat pemain naturalisasi skuad kebangsaan, Guilherme de Paula semasa beraksi sebagai penyerang dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu masih menjadi topik perbincangan kelompok peminat dan penyokong sehingga ke hari ini.
Ketika itu, penyerang kelahiran Brazil yang berusia 34 tahun ini hanya berhasil menjaringkan satu gol menerusi penalti ketika menentang Vietnam daripada 3 penampilan yang dilakukannya melibatkan baki saingan Kumpulan G.
Selain daripada rekod tersebut, pada pandangan majoriti peminat dan penyokong, De Paula tidak memberikan sumbangan signifikan dan menyebabkan dia dikritik hebat ditambah pula dengan persembahan yang tidak efektif di barisan serangan serta dilihat ‘malas berlari’ ketika di dalam permainan.
Bagaimanapun, disebalik kritikan hebat ke atas penyerang tersebut, pengurus skuad kebangsaan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi tampil mempertahankan De Paula dan meminta para peminat dan penyokong untuk mengkritik dengan lebih adil.
Artikel Berkaitan: Penyerang Naturalisasi, De Paula Mengaku Namanya Zulhelmi

“Kalau tengok perlawanan-perlawanan lepas, tak banyak bola sampai ke dalam kawasan lawan kita, jadi nak menyalahkan De Paula seorang pun tidak adil.
“Bagi saya episod itu telah berlalu dan De Paula kena buktikan dia pilihan tepat menjadi penyerang negara,” katanya seperti dipetik daripada portal Bernama.
Menurut portal itu juga, Yusoff berpendapat soal De Paula berlari atau tidak semasa dalam permainan adalah antara penyerang tersebut dan ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Akan tetapi, sebagai penyerang, tugas utama buat De Paula adalah menjaringkan gol bagi membantu kemenangan buat skuad Harimau Malaya dan Yusoff mahu pemain itu bersedia daripada segi mental untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Kalau tiap-tiap perlawanan dia tak boleh jaringkan gol, tak ada makna lah dia boleh membantu kita (pasukan negara). Sebab kita ambil dia khas bagi mendapatkan gol, jadi itu menjadi tanggungjawabnya,” katanya lagi.
Untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Jordan (ranking 93) dan Uzbekistan (ranking 84) yang dijadualkan pada hari ini dan 9hb Oktober, nama De Paula tetap dipanggil oleh Cheng Hoe.
Featured Image: Changsuek
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!