Pemenang Anugerah Puskas, Faiz Subri Kembali Bersama Penang Musim Hadapan
October 24, 2021 Hafizuddin Omar

Selepas sekian lama meninggalkan saingan bola sepak professional, Pemenang Anugerah Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Puskas 2016, Faiz Subri kembali menyertai pasukan lamanya.

Menerusi satu perkongsian di pelbagai platform media sosial Penang FC, kelab itu mengesahkan mengikat kontrak pemain berusia 33 tahun itu selama setahun untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

“Ibarat sireh pulang ke gagang, Faiz Subri sah sebagai pemain Penang FC musim 2022. Penerima anugerah Puskas tahun 2016, Faiz Subri sah mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan Penang FC bagi musim 2022.” tulis kenyataan kelab, pada hari ini.

Baca: Pemilik Kelantan Tertarik Dengan Skil & Bakat Pemenang Anugerah Puskas?

Ianya merupakan satu kejutaan daripada pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga musim ini. Manakan tidaknya, awal Oktober lalu, Faiz yang mempunyai kepakaran dalam situasi bola mati telah menarik minat daripada pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Bukan itu sahaja, Norizam atau terkenal dengan panggilan Zamsaham turut berkeinginan untuk membawa pemain tersebut ke Kota Bharu bagi menguatkan Kelantan pada musim hadapan.

Untuk makluman semua, Penang atau dahulunya dikenali sebagai Pulau Pinang merupakan pasukan profesional terakhir diwakili oleh Faiz pada tahun 2019.

Selepas daripada itu, karier bola sepak Faiz lebih tertumpu kepada pasukan semi-profesional dan amatur seperti Northern Lions Football Club dan Kuala Kangsar FC.

Featured Image: Penang FC

Komen