Ketum PSSI, Mochamad Iriawan Sasar Indonesia Atasi Ranking Skuad Malaysia & Singapura
October 27, 2021 Hafizuddin Omar

Kemaskini ranking Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada bulan ini menyaksikan pasukan bola sepak jiran tetangga, Indonesia meraih peningkatan sebanyak 10 anak tangga.

Ini menjadikan Indonesia atau skuad Garuda berada di kedudukan ke-165 dunia berbanding ke-175 pada bulan lalu. Peningkatan memberangsangkan ini dibantu oleh kemenangan mereka ke atas Chinese Taipei dalam perlawanan play-off Pusingan 3 Kelayakan Piala Asia 2023, baru-baru ini.

Walaupun gembira dengan peningkatan positif tersebut, Ketua Umum (Ketum) Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan mahukan skuad Garuda terus memperbaiki kedudukan mereka.

Sebahagian pemain Indonesia ketika menentang Chinese Taipei baru-baru ini.

Baca: Shin Tae-yong Anggap Vietnam & Malaysia Pasukan Yang Kuat

Dalam masa yang terdekat, Mochamad atau dikenali sebagai Iwan Bule berharap Indonesia dapat meraih peningkatan sebanyak 15 anak tangga sekaligus menghuni kedudukan ke-150 dunia.

“Seperti cita-cita saya, paling tidak kalau bisa ke peringkat 150, ya. Ini kan baru naik 10 peringkat menjadi 165, ini kan luar biasa ya,” katanya seperti dipetik daripada portal detikSport.

Untuk mencapai sasaran tersebut, difahamkan PSSI sudah mengatur perlawanan antarabangsa ketika rehat antarabangsa FIFA pada November kelak. Namun, maklumat mengenai pasukan negara mana yang akan ditentang oleh Indonesia belum dimaklumkan secara rasmi.

Sebagai tambahan, sekiranya sasaran ke-150 dunia yang diletakkan oleh Ketum PSSI ini dapat dicapai, skuad Garuda akan mengatasi dua pasukan di rantau asia tenggara (ASEAN) yang merupakan jiran tetangganya iaitu Malaysia (ranking ke-155) dan Singapura (ranking ke-160).

Featured Image: PSSI

Komen