Indonesia Masters: Zii Jia Tak Sempat Tamatkan Permainan, Terpaksa Tarik Diri Pada Pusingan 1
November 16, 2021 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak sempat menamatkan perlawanan pada Pusingan 1 dalam kejohanan Indonesia Masters yang berlangsung pada hari ini.

Zii Jia yang menduduki ranking ketujuh dunia membuat keputusan menarik diri (retired) ketika skor 9-11 pada set pertama yang sedang berpihak kepada lawannya, Rasmus Gemke dari Denmark.

Baca: Lee Zii Jia Tak Perlu Tarik Diri Kejohanan Indonesia Masters, Kata SU Agung BAM

Ketika itu, perlawanan baru sahaja berlangsung dalam tempoh 13 minit. Difahamkan, penarikan dirinya ini disebabkan oleh kecederaan belakang yang menimpa Zii Jia ketika di kejohanan Terbuka HYLO, minggu lalu.

Selain itu, faktor keletihan yang dialami oleh Zii Jia ekoran penyertaan deretan kejohanan demi kejohanan sejak bulan September lalu turut menyumbang kepada keputusan tersebut.

Penarikan diri Zii Jia memberikan laluan kepada Rasmus untuk mara ke Pusingan 2. Di peringkat ini, Rasmus bakal berhadapan antara pemain Republik Korea, Heo Kwanghee atau pemain Perancis, Toma Junior Popov.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

Komen