Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ab Rasid Jusoh memaklumkan telah merangka pelan strategik selama lima tahun bermula tahun 2021 hingga 2025 untuk Terengganu FC dengan nasihat pakar daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menurutnya, perbincangan bersama pakar-pakar daripada intitusi pendidikan yang terletak di dalam negeri Terengganu tersebut telah bermula sejak hari pertama beliau dilantik sebagai CEO sekitar bulan oktober tahun lalu.
Dikongsikannya bersama Sukanz, Ab Rasid memaklumkan di dalam pelan strategik tersebut terdapat 5 pelan utama untuk menjana pendapatan buat Terengganu FC hasil daripada cadangan oleh pakar-pakar daripada UniSZA.
#1 Kaedah Mendapatkan Penajaan
Berbanding menggunakan kaedah mendapatkan penajaan secara ‘old-school’ iaitu dengan menghantar surat dan berjumpa dengan syarikat untuk memohon penajaan.
Tahun ini, mereka akan pergi menemui syarikat-syarikat tersebut dan menawarkan kerjasama dan juga pulangan-pulangan tertentu sekiranya menaja pasukan Terengganu FC. Sebagai contoh, menawarkan pengiklanan dan pendedahan penjenamaan pelbagai plaform media sosial dan juga luar talian bersama Terengganu FC.
#2 Mempelbagaikan Kutipan Tiket
Sebelum ini, Terengganu FC hanya menjual tiket pada hari perlawanan secara terus kepada peminat menerusi jualan atas talian dan luar talian serta pas bermusim.
Bermula musim ini, pertamanya Ab Rasid mengatakan Terengganu FC telah dicadangkan oleh pakar di UniSZA untuk menjual corporate box di stadium.
Keduanya mengelaskan harga tiket mengikut prestasi pasukan yang dihadapi sebagai contoh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah adalah kategori A (harga paling mahal), Perak dan Selangor adalah kategori B (harga pertengahan) manakala UITM FC dan PJ City FC kategori C (paling murah).
Yang ketiganya adalah cadangan untuk menjual tiket secara pukal kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mendapatkan harga yang lebih lumayan kepada Terengganu FC.
#3 Penjualan Cenderamata (Merchandise)
Cenderata mata yang dikeluarkan kelab antara barangan yang sering dibeli oleh para peminat untuk menunjukkan rasa kecintaan terhadapa pasukan kesayangannya.
Menurut Ab Rasid, kaedah terdahulu penjualan cenderamata pasukan Terengganu FC adalah menerusi pihak ketiga yang mengeluarkan modal. Bermula tahun ini, mereka akan mengambil sebagai contoh antara 10% – 30% daripada penjualan cenderamata ini untuk memberikan pendapatan kepada pasukan.
#4 TFC Sports City di Perkarangan Stadium Sultan Mizan
Antara cadangan yang lain yang dibentangkan kepada TFC adalah menghidupkan kawasan stadium dengan pelbagai acara berkaitan bola sepak termasuk futsal. Ab Rasid mengharapkan ianya disertai oleh orang ramai dan pasukan-pasukan lain.
Menerusi penganjuran TFC Sports City ini, mereka akan membuka tapak jualan dan mengutip sewa daripada peniaga yang ingin berniaga di kawasan tersebut. Sementara itu, turut berada dalam perancangan mereka adalah untuk mengadakan Stadium Tour.
#5 Menjual Pemain-Pemain
Akhir sekali, Ab Rasid berkata Terengganu FC akan mula melatih kanak-kanak dengan penerapan falsafah bola sepak mengikut acuan yang dimahukan oleh ketua jurulatih agar dapat menjadi pemain Terengganu FC pada masa hadapan.
Bagaimanapun, tidak semua pemain-pemain pelapis ini bakal mendapat tempat di dalam pasukan Terengganu FC pada masa akan datang. Justeru, pemain-pemain yang tidak mendapat tempat bersama skuad Terengganu FC akan dijual bagi menjana pendapatan.
Mengapa TFC Pilih UniSZA Sebagai Rakan Kerjasama?
Sementara itu, Ab Rasid berkata UniSZA dipilih sebagai rakan kerjasama kerana institusi pengajian tinggi tersebut mempunyai pelbagai kepakaran yang diperlukan oleh Terengganu FC.
UniSZA sendiri mempunyai Fakulti Perniagaan & Pengurusan, Fakulti Informatik & Komputeran, Fakulti Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan yang boleh memberikan nasihat untuk meningkatkan kualiti teknikal, kualiti pengurusan dan menaikkan nilai komersil kelab.
“Sebabnya universiti tu ada di negeri Terengganu dan mempunyai (pelbagai) kepakaran untuk bidang pengurusan dan perniagaan, teknikal dan hospital (sedang dibina).” katanya yang turut mempunyai pengalaman bekerjasama bersama UniSZA ketika menjawata jawatan CEO T-Team FC suatu masa dahulu.
Inilah yang menyebabkan Terengganu FC dan UniSZA menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) selama tujuh tahun dalam satu majlis yang diadakan pada minggu lalu.
Pada masa yang sama, beliau turut terbuka untuk mengadakan MOU bersama institusi pengajian yang lain khususnya di negeri Terengganu sekiranya terdapat bidang kepakaran yang dapat memberikan nilai tambah kepada Terengganu FC.
Featured Image: UniSZA