Keenakan ‘Klang Valley Derby’ Bergantung Kepada Kekuatan KL United
February 4, 2021 Hafizuddin Omar

Kehangatan ‘Klang Valley Derby’ (Derbi Lembah Klang) di antara pasukan Selangor dan Kuala Lumpur United (KL United) FC boleh dinaikkan kembali sekiranya skuad The City Boy kembali menjadi sebuah pasukan yang kuat.

Bagi pasukan KL United, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard berkata pihaknya juga mahukan kehangatan pertembungan dua pasukan berpangkalan di Lembah Klang ini kembali hangat seperti pertengahan 1980-an dahulu.

Namun begitu, KL United perlu melakukan pelbagai usaha untuk menguatkan kembali pasukan dan menarik penyokong terlebih dahulu sebelum kembali berseteru dengan pasukan yang terkenal dengan julukan The Red Giants itu.

“Ia tidak boleh berlaku dalam sekelip mata kerana kita perlu memastikan segala aspek (melibatkan) pemilihan pasukan, pemilihan jurulatih, pemilihan pemain, pengurusan dan struktur perancangan kita lebih baik,  

“Apabila kita lakukan benda-benda yang lebih profesional daripada segi persediaan pasukan, sudah tentu kita boleh mengorak langkah yang lebih dihormati oleh peminat-peminat Kuala Lumpur dan juga Lembah Klang, 

“Itu akan membawa sedikit keenakan apabila Kuala Lumpur menentang Selangor.” katanya kepada Sukanz.

Baca: KL United Ikat Pertahanan Tengah Lubnan Kelahiran Perancis

Sempat juga beliau mengimbau kembali kehangatan derbi ini ketika pasukan Kuala Lumpur dibarisi dengan pemain-pemain seperti Fandi Ahmad, K. Kannan, Mat Zan Mat Aris dan lain-lain lagi.

“Kedua-dua pasukan hebat, di belah Selangor hebat, di belah KL pun hebat,” tambahnya lagi.

Malahan kehangatan derbi ini masih membara ketika era 1990-an terutamanya ketika penghijrahan penyerang, Azman Adnan daripada pasukan Kuala Lumpur ke Selangor berserta dengan satu nilai perpindahan yang besar pada masa itu.

Malangnya, selepas daripada itu, derbi ini kian suram apabila pasukan Kuala Lumpur mula menurun prestasinya berbanding Selangor yang kekal gah sebagai antara pasukan berstatus gergasi bola sepak tanah air.

Selain daripada Derbi Lembah Klang, saingan bola sepak Malaysia akan dimeriahkan dengan sebuah lagi derbi yang lain pada tahun ini. Ianya adalah ‘North Derby’ (Derbi Utara) melibatkan pasukan Kedah Darul Aman dan Penang FC.

Komen