Written by 12:25 pm Bola Sepak, Malaysia

‘Training Centre’ Kedah Bakal Memiliki 3 Padang Terbuka & 1 Padang Tertutup

Umum mengetahui naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman FC (Kedah) merancang untuk membina pusat latihannya yang tersendiri lebih-lebih lagi setelah melantik tokoh kewangan, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar sebagai Patron (Penaung) kelab pada November lalu.

Menerusi dokumen Prospektus Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman yang dimuat naik di laman sesawangnya, konsep pusat latihan moden dilengkapi dengan pelbagai fasiliti dan kemudahan yang akan dibina oleh skuad Hijau Kuning itu telah dikongsikan untuk tatapan umum.

Dimaklumkan, pusat latihan tersebut dianggarkan bernilai RM20 juta. Ianya akan dilengkapi dengan 3 buah padang terbuka, sebuah padang tertutup, bilik rawatan, gimnasium, bilik analisis prestasi, pejabat, dapur, ruangan makan serta pelbagai kemudahan lain.

Selain itu, pusat latihan ini akan turut menempatkan Hub Prestasi Sukan dan Perubatan untuk mempertingkatkan kualiti data sains sukan dan pemulihan yang lebih saintifik. Hub ini terbina hasil kerjasama yang dimeterai antara Kedah dan KXG Sports Analytics, semalam.

Difahamkan, setelah siap kelak, pusat latihan ini akan turut dibuka untuk kegunaan para penyokong dan orang awam sebagai sebahagian daripada penglibatan bersama komuniti dan tanggungjawab korporat sosial (CSR) oleh pasukan Kedah.

Menurut perkongsian terbaru oleh Kedah, pusat latihan yang dilengkapi dengan segala fasiliti dan kemudahan seperti dinyatakan di atas akan direalisasikan dalam tempoh tiga tahun.

(Visited 14,203 times, 8 visits today)
Close