Artikel

TMJ Titah Dikongsikan Segala Info Penting Tentang SSI – Patron Kedah

Gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sememangnya diakui sebagai stadium bola sepak terbaik di dalam negara serta rantau asia tenggara oleh pelbagai pihak.

Reka bentuk stadium yang menarik perhatian ramai ini diilhamkan daripada bentuk daun pisang. Padangnya menggunakan rumput semula jadi jenis zeon zoysia yang membolehkan corak permainan berkualiti disajikan kepada para penonton. 

Stadium Sultan Ibrahim

Stadium yang dibina dengan kos anggaran RM200 juta ini mampu memuatkan maksimum 40,000 penonton. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan fasiliti untuk kegunaan para penonton yang hadir termasuk dipasang dengan sistem pencahayaan, sistem bunyi dan kemudahan penyiaran yang moden.

Bulan Mac lalu, SSI telah dipilih sebagai ‘Stadium of The Year 2020’ untuk kategori undian awam oleh laman sesawang berpangkalan di Poland, StadiumDB setelah mendapat 64,260 mata undian mengatasi Stadium Allegiant di Las Vegas dan Stadium Ahmad bin Ali di Qatar.

Patron Kedah Darul Aman, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar Melawat SSI

Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merangkap Menteri Besar Kedah mengumumkan perlantikan tokoh dan pakar kewangan islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar sebagai Penaung (Patron) Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (Kedah).

Menariknya, sebelum dilantik secara rasmi untuk mengisi posisi tersebut, Dr. Mohd Daud yang juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah turun ke melawat SSI sebelum berlangsungnya perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia antara JDT dan Kedah pada 18 November lalu.

Menerusi perkongsian di laman sosialnya, tokoh kelahiran Alor Setar itu menyifatkan peluang melawat stadium berkenaan merupakan antara detik terindah dalam hidupnya lebih-lebih lagi mendapat iringan khusus daripada Pengurus Stadium & Fasiliti, Kevin Ramalingam dan Pengarah Teknikal, Alistair Edwards.

Dr. Mohd Daud dibawa untuk melihat padang SSI.

Baca: JDT Menjadi ‘Benchmark Club’ Di Malaysia, Contoh Ikutan – Hishamuddin

Semasa lawatan tersebut, Dr. Mohd Daud telah dibawa setiap pelusuk stadium seperti bilik persalinan, ruang tempat duduk penonton termasuk melihat dengan dekat padang yang dijaga dengan penuh rapi itu. 

“Setiap orang nak masuk padang kena celup kasut dalam bekas cecair bagi bunuh kuman. Betapa telitinya tahap penjagaan padang berprestij ini.”

“Semua soalan kami tentang aspek kos, penyelenggaraan & teknikal serta penjagaan kualiti dijawab sepenuhnya.” tulisnya di Facebook Page, Dr Mohd Daud Bakar – Shariah Minds – Minda Syariah dalam posting yang bertajuk ‘Perjalanan Di Selatan Tanah Air (III)’.

Pemilik JDT Titah Dikongsikan Segala Info Penting Stadium Kepada Patron Kedah

Pemilik kelab yang terkenal dengan julukan Harimau Selatan, DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) seringkali dianggap sebagai individu yang angkuh dan bongkak oleh sebahagian penyokong bola sepak tempatan dek kerana deretan kejuaraan dalam dan luar negara yang dirangkul pasukannya.

Namun, penaung pasukan Kedah ini mengungkapkan satu sisi TMJ  yang mana merupakan seorang yang terbuka serta tidak lokek berkongsikan informasi, pengetahuan dan pengalaman apabila melibatkan hal-hal seperti pembinaan dan penyelenggaraan stadium serta pusat latihan pasukannya.

Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Dr. Mohd Daud, “banyak aspek yang kami didedahkan seolah-olah nak kongsi apa yang terbaik dalam pembinaan & penjagaan stadium.”

Dr. Daud diberikan penerangan oleh Kevin Ramalingam semasa sesi lawatannya.

“Skrip yang selalu kami dengar dari pegawai tinggi JDT adalah, ‘TMJ titah supaya dikongsi sepenuhnya info penting tentang stadium’. Saya rasa amat terharu dengan keterbukaan yang luar biasa ini.”

Difahamkan beliau menghabiskan masa sekitar dua jam dalam sesi lawatan di SSI pada hari tersebut namun ianya belum mencukupi untuk meneliti keseluruhan aspek di stadium itu. 

Tambahnya lagi, “kami mengetahui mereka amat sibuk sebelum perlawanan antara Kedah & JDT di malam tapi pegawai-pegawai tinggi JDT begitu passionate (tekun) menjelaskan semua perkara penting & relevan dalam aspek design (reka bentuk), fasiliti & functionality (fungsi) sesebuah stadium. 

“Tak ada langsung rasa mereka memberi kedua terbaik kepada kami walaupun kedatangan kami mungkin kurang sesuai dengan waktunya.”

Pada masa yang sama, beliau turut bercadang untuk melawat Pusat Latihan Padang Seri Gelam namun masa tidak mengizinkan di waktu itu. Bagaimanapun, Dr. Mohd Daud telah dipelawa oleh JDT untuk datang kembali di masa akan datang untuk dibawa melawat pusat latihan JDT itu.

Perancangan & Fokus Dr. Mohd Daud Setelah Dilantik Sebagai Patron Kedah

Seusai sahaja diumumkan sebagai Patron Kedah secara rasmi, semalam, Dr. Mohd Daud turut berkongsikan perancangan yang menjadi fokus utamanya terhadap skuad Hijau Kuning itu dalam tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

Sanusi Md Noor (duduk kiri) dan Dr. Mohd Daud Bakar (duduk kanan).

Antara yang dikongsikannya ialah:

  • Memacu jaringan pintar KDA FC dengan semua pihak & pemegang taruh yang boleh membantu KDA FC melonjak laju dan tinggi.
  • Menyediakan dana bagi membina KDA FC Training Centre.
  • Rancangan tempoh sederhana (2 -3 tahun) ialah membina stadium KDA FC sendiri.

Sementara itu, beliau turut meletakkan empat paksi utama bagi membolehkan pasukan Kedah pergi lebih jauh dalam segenap aspek iaitu Prestasi, Kewangan, Fasiliti dan Komuniti.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & Dr Mohd Daud Bakar

komen