Duo ‘Midfielder’ Filipina Formula Baharu Terengganu Hadapi Liga Malaysia 2022?
January 3, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC dilihat bakal menggunakan formula baharu dengan mempertaruhkan duo pemain tengah dari Filipina untuk mengharungi Liga Malaysia 2022.

Perkara ini hadir selepas Terengganu mengumumkan menandatangani pemain tengah skuad kebangsaan Filipina, Manuel Ott atau dikenali sebagai Manny yang berusia 29 tahun daripada Melaka United, semalam.

Sebelum itu, skuad ‘Black and White’ ini telah mengikat khidmat seorang pertahanan versatil yang mampu beraksi sebagai pemain tengah, juga dari Filipina, Luke Woodland yang berusia 26 tahun.

Baca: Terengganu Ikat Pertahanan Kelahiran UAE Selama Setahun

Dijangka, ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain akan menggandingkan dua pemain ini di bahagian tengah dengan Manny berfungsi sebagai ‘centre midfielder’ manakala Luke melengkapkannya dengan fungsi ‘defensive midfielder’ di dalam formasi 4-2-3-1.

Sebagai rekod, sepanjang separuh musim 2021, Terengganu kerap menggunakan gandingan pemain kelahiran benua afrika iaitu Dechi Marcel (Ivory Coast) dan Habib Haroon (Nigeria) di mana kedua-duanya merupakan ‘centre midfielder’ sebagai ‘enjin’ utama mereka.

Dechi Marcel

Ia bukanlah satu gandingan yang utuh namun duo ‘midfielder’ benua afrika ini telah membantu Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat serta mara ke pentas separuh akhir Piala Malaysia.

Bagaimana pula dengan jangkaan impak yang akan diberikan oleh gandingan Filipina, Manny dan Luke terhadap Terengganu dalam saingan Liga Malaysia 2022 kelak? Berikan pendapat anda.

Featured Image: Terengganu FC

Komen