Artikel

Pemain Skuad Kebangsaan Lubnan Fadel Penyerang Import Ke-3 Diikat Kelantan

Pasukan berpangkalan di pantai timur, Kelantan FC menunjukkan keseriusan untuk memberikan cabaran sengit dalam saingan Liga Premier 2022 dengan mengumumkan mengikat penyerang import ketiga, semalam.

Pemain baharu yang ditandatangani dan diumumkan oleh skuad The Red Warriors (TRW) itu ialah Fadel Mohammad Antar merangkap penyerang skuad kebangsaan Lubnan yang kini sedang mengharungi kelayakan Piala Dunia Pusingan Ke-3.

Fadel dengan pantasnya dilabelkan sebagai ‘The Next Ghaddar’ kerana berkongsi negara kelahiran yang sama dengan bekas penyerang import legenda Kelantan, Mohammed Ghaddar.

Oleh demikian, Kelantan turut mengumumkan Fadel yang baerusia 26 tahun ini akan menyarung jersi No.22 – nombor jersi yang pernah digunakan oleh Ghaddar suatu ketika dahulu.

Mempunyai ketinggian 1.84 meter (m), Fadel hadir dengan rekod 12 gol daripada 8 perlawanan yang diharungi oleh kelabnya sebelum ini, Shabab Sahel dalam saingan Liga Premier Lubnan, musim ini.

Untuk makluman semua, sebelum ini, Kelantan telah mengumumkan kehadiran dua penyerang, Nixon Guylherme Brizolara dan Kervens Belfort masing-masing dari Brazil dan Haiti.

Dijangka, Kelantan yang dibimbing oleh Rezal Zambery Yahya mahu mempertaruhkan ketiga-tiga penyerang import ini di barisan serangan mereka dalam usaha untuk memburu slot promosi ke saingan Liga Super 2023.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen