Artikel

Pemain Berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal Sertai Pasukan MLS Next Pro

Pemain kelahiran Amerika Syarikat yang mempunyai darah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal bakal mengharungi saingan bola sepak musim 2022 dengan menyertai pasukan yang beraksi dalam saingan MLS Next Pro – liga simpanan kepada Major League Soccer (MLS).

Dimaklumkan, pemain tengah berusia 23 tahun ini telah menjadi milik pasukan simpanan, St. Louis City 2 untuk mengharungi saingan MLS Next Pro yang akan bermula Mac kelak.

Baca: FAM Sedia Menerima Mana-Mana Pemain Kacukan Berkualiti Termasuk Wan Kuzain

Menurut kenyataan kelab, pasukan simpanan ini ditubuhkan untuk mempersiapkan jurulatih dan para pemain sebelum pasukan utama, St. Louis City menyertai kancah tertinggi bola sepak negara Uncle Sam, MLS pada tahun 2023 kelak.

Sebelum ini, Kuzain pernah menyertai pasukan yang beraksi dalam kancah MLS iaitu Sporting Kansas City. Ketika itu, namanya pernah ‘meletup’ setelah menghasilkan jaringan sulung bertemu Minnesota United pada tahun 2018.

Kemudiannya, khidmatnya dilepaskan oleh Sporting Kansas City dan Kuzain berhijrah dengan menyertai pasukan yang beraksi dalam saingan USL Championship iaitu Rio Grande Valley FC atau dikenali sebagai RGV Toros pada 2021.

komen