Artikel

Syarikat Telekomunikasi Jepun Taja Kelantan United RM150,000

Sebuah syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Jepun iaitu KDDI (M) Sdn Bhd menjadi entiti terbaru yang muncul menaja pasukan Liga Premier, Kelantan United FC.

Menurut makluman kelab, syarikat tersebut hadir menjalinkan kerjasama sekaligus memberikan tajaan berjumlah RM150,000 kepada skuad yang mendapat julukan Kijang Hijau ini.

Difahamkan, pihak KDDI berminat untuk menjalinkan kerjasama dan memberikan tajaan kerana tertarik dengan skuad Kelantan United yang turut diperkuatkan dengan pemain Jepun, Masashi Motoyama.

Masashi Matoyama

“Pemilihan Kelantan United sebagai rakan tajaan bola sepak ini terhasil cetusan idea daripada Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang memperkenalkan Kelantan United kepada syarikat KDDI (M) Sdn Bhd.

“Sebagai sebuah syarikat yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun pemilihan pemain lagenda Jepun, Masashi Motoyama dalam pasukan Kelantan United untuk musim ini juga merupakan antara faktor yang menarik syarikat KDDI untuk menaja pasukan ini,” kata Ketua Pegawai Operasi (CEO) Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman.

Selain daripada tajaan tersebut, hasil daripada kerjasama ini turut melibatkan perancangan pembangunan bola sepak oleh kedua-dua pihak di negeri Kelantan.

Pada masa yang sama, di pihak syarikat KDDI, Pengarah Urusannya, Masaki Matsuura berharap melalui penajaan ini, syarikatnya akan lebih dikenali di pantai timur negara ini.

Terdahulu, Kelantan United telah menerima tajaan daripada syarikat minuman probiotik, Yakult (M) Sdn Bhd yang berjumlah RM766,000.00 untuk mengharungi saingan musim 2022.

Featured Image: Kelantan United FC

komen