‘Kick-off’ Liga Super Di SSMZA, SDM & SSI Antara Yang Bermula 8:15 Malam
February 23, 2022 Hafizuddin Omar

Penganjur saingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) telah mengemaskini jadual Liga Malaysia 2022 dengan meletakkan waktu sepak mula (kick-off) bagi setiap perlawanan Liga Super dan Liga Premier musim ini.

Kemaskini tersebut memperlihatkan waktu sepak mula untuk beberapa venue bagi saingan Liga Super terutamanya di semenanjung Malaysia dimulakan lebih awal iaitu pada pukul 8:15 malam.

Antara venue bermula dengan waktu sepak mula tersebut ialah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Stadium Darul Makmur (SDM), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan beberapa venue yang lain lagi.

Bagaimanapun, penetapan sepak mula 8:15 malam itu tidak tetap. Ada beberapa perlawanan yang melibatkan venue yang sama turut dimulakan pada pukul 9:00 malam sepertimana kebiasaan pada musim-musim terdahulu.

Terdapat juga venue yang kekal 100% dengan waktu sepak mula jam 9:00 malam sepanjang musim 2022 (kecuali bulan Ramadan) iaitu Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Sementara itu, kemaskini itu turut memperlihatkan waktu sepak mula bagi venue-venue di Malaysia Timur dimulakan seawal 7:30 malam berbanding 8:15 malam berbanding kebiasaan.

Manakala waktu sepak mula untuk sepanjang bulan Ramadan pula kekal pada pukul 9:00 malam bagi venue-venue di Malaysia Timur dan 10:00 malam bagi venue-venue di Semenanjung Malaysia.

Baca: Stuart: ‘Kick-off’ Perlawanan Liga Malaysia 2022 Dicadangkan Kepada 8:15 Malam

Untuk makluman semua, pada Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam memaklumkan pihaknya mencadangkan tiga pilihan waktu sepak mula yang berbeza pada musim ini.

Pilihan waktu sepak mula yang lebih awal ini diharapkan dapat memberikan pertambahan penonton ke stadium terutamanya melibatkan kalangan penonton bawah umur seperti kanak-kanan.

Selain itu, ianya diharapkan dapat memberi impak terhadap tontonan siaran langsung sekaligus memberikan kelebihan peluang penajaan dan hak penyiar rasmi.

Featured Image: Terengganu FC

Komen