Artikel

Kelayakan Piala Asia: Pasukan Ke-89 Dunia Jadi Lawan Malaysia Dalam Kumpulan E

Malaysia telah dipilih oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai salah satu tuan rumah untuk pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dan lawan bagi skuad negara telah pun diketahui pada hari ini.

Menerusi hasil undian yang dijalankan oleh AFC sebentar tadi, Malaysia yang dibimbing oleh ketua jurulatih baharu, Kim Pan-gon akan berhadapan dengan pasukan yang menghuni ranking ke-89, ke-134 dan ke-186 dunia.

Baca: AFC Mengesahkan Malaysia Jadi Tuan Rumah Kelayakan Piala Asia 2023

Tiga pasukan tersebut ialah Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh yang diletakkan bersama-sama Malaysia (ranking ke-154) dalam Kumpulan E. Sementara itu, baki 20 pasukan yang lain mengisi Kumpulan A, B, C, D dan F adalah seperti grafik di bawah.

Setiap pasukan akan menentang sesama sendiri di dalam setiap kumpulan dengan format ‘single round robin’. Perlawanan ini dijadualkan berlangsung pada 8hb, 11hb dan 14hb Jun kelak.

Juara bagi setiap kumpulan serta 5 naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023 yang berlangsung di China pada tahun hadapan.

Untuk makluman semua, kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Asia adalah pada tahun 2007 selaku tuan rumah kejohanan bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

komen