Artikel

Farah Ann Masih Disenaraikan Untuk Mewakili Malaysia Di Sukan SEA Vietnam

Walaupun heboh mengenai desas-desus persaraan melibatkan ratu gimnastik negara, nama Farah Ann Abdul Hadi masih disenaraikan oleh Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA Vietnam 2021 pada Mei kelak.

Menurut laporan Bernama, Setiausaha Agung MGF, Afrita Ariany berkata pihaknya turut mendengar desas-desus berkenaan namun tiada sebarang surat persaraan dihantar oleh atlet berusia 27 tahun itu, sehingga kini. Oleh demikian, pihak MGF tetap menyenaraikan namanya.

“Kami hanya mengetahui rancangan beliau untuk bersara semasa mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama jurulatihnya dan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini. (Menurut jurulatihnya) beliau dikatakan akan bersara. Malah, Farah juga memaklumkan (perkara itu) kepada beberapa orang yang rapat dengannya.

“Saya masih menunggu hitam putih. Bagaimanapun, beliau masih dalam senarai kami untuk Sukan SEA,” katanya seperti dipetik daripada portal milik agensi berita nasional itu.

Terdahulu, ketua jurulatih artistik wanita kebangsaan, Ng Shu Wai tidak menolak kemungkinan atlet kelahiran Subang, Selangor itu akan bersara daripada sukan ini. Tambahan pula, Farah sudah dua minggu tidak mengikuti latihan bersama skuad kebangsaan.

Sebagai tambahan, di temasya dwitahunan berkenaan, MGF meletakkan sasaran untuk memungut empat pingat emas dalam acara gimnastik termasuk daripada acara berpasukan.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

komen