Derbi Pantai Timur Ditunda, 20 Pemain & Pegawai Sri Pahang Dijangkiti Covid-19
March 4, 2022 Hafizuddin Omar

Pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan menunda perlawanan derbi pantai timur yang melibatkan Sri Pahang FC dan Terengganu FC, pada perlawanan pertama yang sepatutnya berlangsung pada malam esok.

Menerusi satu kenyataan rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata keputusan ini dibuat selepas menerima laporan 20 pemain dan pegawai Sri Pahang dijangkiti Covid-19.

Baca: Kelab Layak Mohon Tangguh Perlawanan Sekiranya 50% Pemain Dijangkiti Covid-19

Ekoran itu, kesemua individu daripada skuad yang berjulukan Tok Gajah itu perlu menjalani isolasi dan terpaksa menunda perlawanan ini termasuk dua perlawanan seterusnya menentang Selangor FC (8 Mac) dan perlawanan pertama Piala FA menentang Manjung City FC (12 Mac).

Dalam kenyataan yang sama, Stuart juga memaklumkan dua pasukan Liga Premier, UiTM FC dan Perak FC turut mendapat nasib malang yang sama.

Dilaporkan 12 pemain UiTM FC positif Covid-19 dan bakinya berstatus kontak rapat bergejala. Manakala, buat Perak FC pula, enam pemainnya positif dan 14 pemain menjadi kontak rapat yang bergejala sekaligus perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu ditunda.

Terdahulu, MFL telah mengumumkan perlawanan melibatkan pasukan PDRM FC serta Skuad Projek FAM-MSN ditunda ekoran sebab yang sama menimpa para pemain dan pegawai kedua-dua pasukan ini.

Komen