Artikel

Terbuka Jerman: Wooi Yik Dijangkiti Covid-19, Salah Satu Beregu Negara Berpeluang Melangkah Terus Ke Suku Akhir

Pasangan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa melupakan Terbuka Jerman 2022 yang akan membuka tirainya pada hari esok.

Ini disebabkan Wooi Yik dimaklumkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangkiti Covid-19 dan terpaksa menjalani isolasi sepertimana protokol kuarantin oleh pihak kerajaan. Walaupun didapati positif, pemain berusia 24 tahun ini asimtomatik dan berada dalam keadaan yang baik.

Barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan BAM akan terus memantau proses pemulihannya sebelum memutuskan penyertaannya dalam Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022 yang akan berlangsung di Birmingham pada minggu hadapan.

Baca: 4 Beregu Negara Bertembung Sesama Sendiri di Pusingan 32 Terbuka Jerman

Sementara itu, lawan kepada Aaron-Wooi Yik di Pusingan 32 iaitu Low Juan Shen yang bergandingan bersama Goh V Shem pula mengumumkan menarik diri daripada saingan ini dan kejohanan di eropah ekoran kecederaan.

Perkembangan ini menyaksikan pemenang antara dua beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang bertembung di Pusingan 32 berpeluang melangkah terus ke saingan suku akhir Terbuka Jerman.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia & Badminton Asia

komen