Artikel

Selepas 4 Tahun Diasaskan, Kini Kerteh FC Bernilai Sekitar RM10 Juta

Kelab komuniti berpangkalan di Kertih, Terengganu yang diasaskan pada tahun 2018, Kerteh FC kini dinilai pada harga sekitar RM10 juta. Nilai tersebut dipaparkan di dalam Dokumen Prospektus Penajaan Kerteh FC 2022/23 yang dikongsikan oleh kelab itu semalam. 

Menurut dokumen tersebut, 80% daripada nilai tersebut disumbangkan oleh pemilikan hartanah (property ownership) projek pembinaan Kerteh Sports City (KSC) yang terdiri daripada sebuah stadium mini dengan padang sintetik yang diiktiraf oleh FIFA berserta lampu limpah.

Baca: Kerteh Sports City Turut Mempunyai Gelanggang Futsal, Badminton & Medan Selera

Selain itu, KSC juga bakal didirikan dengan fasiliti-fasiliti lain seperti tempat meletak kenderaan, gelanggang futsal, badminton, gimnasium, hotel, football residence, padang latihan, food court dan ruang komersil dimana kesemuanya bernilai RM8 juta.

Dimaklumkan, Fasa Pertama projek pembinaan KSC ini sedang giat dijalankan. Fasa ini memfokuskan untuk menyiapkan padang sintetik bagi kegunaan Kerteh FC yang akan beraksi dalam saingan Liga M5, tahun ini.

Baca: Kelab Komuniti Kerteh FC Tambah Satu Lagi ‘Income Stream’ Dengan Jual Beras Import

Sementara itu, baki 20% nilaian tersebut adalah nilai komersil hasil daripada pelbagai aktiviti berkaitan bola sepak dan aktiviti bukan bola sepak yang dijalankan pasukan berjulukan The Oilers ini yang diuruskan oleh KAL Services Sdn Bhd.

Dalam dokumen yang sama, Kerteh FC turut berkongsikan mengenai popularitinya dimana The Oilers kini mempunyai sekitar 30,859 pengikut di pelbagai media sosial milik kelab yang terdiri daripada Facebook, Instagram, Twitter, Youtube dan TikTok.

Sebagai rekod, setelah empat tahun diasaskan, kelab telah berjaya merangkul kejuaraan berganda dengan memenangi saingan Liga Premier (Terengganu Amateur League) dan Piala TAL pada tahun 2019.

komen