Artikel

Jersi ‘Home’ Penang FC Corak Ombak Biru-Kuning Sepatutnya Dijual RM259 Tetapi Diberikan Diskaun Menjadi RM179

Selepas melancarkan jersi ‘away’ pada minggu lalu, pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC melancarkan jersi ‘home’ pada hari ini.

Dikongsikan menerusi makluman rasmi oleh kelab, jersi ‘home’ keluaran Puma ini hadir dengan rekaan bentuk olahan ombak biru-kuning dengan nilai-nilai abstrak digital yang unik serta diberikan nama ‘To The Highest’.

Dimaklumkan, rekaan ini meraikan ciri-ciri Pulau Pinang yang dikelilingi laut dan selaras dengan salah satu visi Penang2030 iaitu Penang Smart City yang memfokuskan kepada Penang Digitalization. Ianya merupakan rekaan istimewa dan khusus untuk Penang FC hasil kerjasamanya dengan Puma.

Baca: Jersi ‘Away’ Penang 2022 Serba Kuning Diperkenalkan – Harga Jualan RM179.90

Daripada segi perletakan logo-logo penaja, bahagian hadapannya diserikan dengan ‘Penang2030’. Di lengan kanannya, terdapat logo The Ship Campus. Di bahagian belakang pula, terdapat logo PKT dan ‘Sports For All’.

Bagi peminat skuad Harimau Kumbang yang mahu mendapatkan jersi ini, bolehlah berkunjung ke kedai Active Sports yang terletak di Komtar, Pulau Pinang serta Seksyen 9, Shah Alam, Selangor bermula hari ini dan esok. Manakala, penjualan secara atas talian pula akan dimaklumkan oleh Penang FC menerusi pelbagai platform laman sosialnya, selepas daripada ini.

Menurut pengasas Active Sports, S. Murugeson berkata harga jersi ini sepatutnya dijual pada harga RM259. Bagaimanapun, selepas perbincangan dengan pihak kerajaan negeri dan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Penang FC, Puma bersetuju untuk mengurangkan harga jualan kepada RM179.  

Featured Image: Penang FC

komen