Penyerang Baharu Kedah ‘Okay’ Penyokong Panggilnya Pak Ngah
March 7, 2022 Hafizuddin Omar

Kemasukan penyerang dari Cameroon, Ronald Ngah Wanja bersama pasukan Kedah Darul Aman FC (Kedah) pada musim ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan penyokong skuad Sang Kenari.

Walaupun baru beraksi dalam satu perlawanan, ketika menentang Sarawak United pada perlawanan sulung Liga Super musim ini, penyerang berusia 30 tahun dengan pantasnya mendapat nama panggilan mesra ‘Pak Ngah’ oleh penyokong Kedah.

Menurut laporan Berita Harian, dia bukan sahaja tidak kisah mengenai nama panggilan tersebut malahan turut teruja dengan kehangatan penyokong yang meraikannya sejak menyertai Kedah. 

“Penyokong ada yang memanggil nama saya Ronald, Ngah atau Wanja dan mereka boleh panggil mana-mana singkatan nama itu kerana semua nama itu memang nama saya, dan jika mereka panggil saya Pak Ngah pun saya okay dengan panggilan nama itu.

Baca: Penyerang Naturalisasi, De Paula Mengaku Namanya Zulhelmi

Baca: Kedah ‘Ikat’ Penyerang Bernilai Hampir RM2 Juta, Ronald Ngah Wanja

“Saya akui kami memiliki penyokong yang cukup bersemangat dan mesra dengan mereka sentiasa memberi sokongan yang padu buat pasukan bagi memulakan aksi liga ini.

“Dengan pungutan tiga mata yang diperolehi pada perlawanan lalu, ianya sangat penting buat saya dan pasukan untuk meningkatkan lagi semangat bagi menghadapi perlawanan seterusnya menentang KL City Rabu ini,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar berkenaan.

Jumaat lalu, ketika mencetak debut bersama Kedah, Ronald turut membantu skuad Hijau Kuning ini meraih kemenangan menerusi jaringan tunggalnya sekaligus memungut tiga mata pertama dalam saingan Liga Super ketika menentang Sarawak United.

Untuk perlawanan seterusnya, Kedah akan melayan kunjungan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Aman pada Rabu nanti.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen