CEO Syarikat Kriptowang Binance Nafi Nak Beli Chelsea
March 9, 2022 Hafizuddin Omar

Ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat bursa kriptowang, Binance menafikan ingin memiliki pasukan yang berpangkalan di London merangkap juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2020-21, Chelsea.

Jurucakap syarikat berkenaan berkata kepada Reuters, Changpeng Zhao ada melakukan perbincangan dengan wakil jualan Chelsea merangkap sebuah bank pelaburan Amerika Syarikat, Raine Group. Namun, jurucakap itu menafikan Changpeng Zhao mahu memiliki kelab bola sepak kerana ianya bukan keutamaan syarikat berkenaan.

CEO Binance, Changpeng Zhao (kanan) – Foto: FC Porto

Baca: Platform Jual Beli Kriptowang Penaja Baharu Liga Super & Piala Malaysia

Akan tetapi, Binance yang merupakan bursa kriptowang terbesar dunia tidak asing dengan dunia bola sepak dimana mereka adalah penaja kelab Serie A, Lazio dan pasukan kebangsaan Argentina. Tidak dilupakan, Binance juga merupakan penaja kepada kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Baca: Binance Suntik Modal Pelaburan Pada Platform Kripto Malaysia – MX Global

Selain itu, Binance turut mengadakan kerjasama dengan kelab bola sepak terkenal seperti kelab berpangkalan di Portugal, FC Porto dan kelab yang beraksi dalam kancah bola sepak Brazil, Santos FC sebagai Rakan Rasmi Fans Token mereka.

Untuk makluman semua, pemilik Chelsea pada ketika ini, Roman Abramovich yang merupakan kelahiran Rusia mengumumkan mahu menjual kelab tersebut pada minggu lalu. Ini dilakukan selepas negaranya melakukan pencerobohan terhadap Ukraine.

Ahli perniagaan berusia 55 tahun itu dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan presiden negaranya, Vladimir Putin tetapi perkara tersebut telah dinafikan oleh Roman.

Komen