Artikel

Jordan Ayimbila Diperkenalkan Secara Rasmi Sebagai Pemain San Antonio FC

Pertahanan muda yang menyarung jersi Selangor FC sepanjang musim lalu, Jordan Ayimbila diperkenalkan secara rasmi oleh kelab baharunya, San Antonio FC. Pertahanan berusia 21 tahun kelahiran Ghana itu diperkenalkan menerusi satu makluman rasmi dan dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat itu, hari ini.

“Kami berbesar hati untuk menambah (khidmat) Jordan (Ayimbila) secara pinjaman daripada Accra Lions. Dia baru sahaja tiba di negara ini, dan kami mahu dia membiasakan dengan identiti pasukan,” kata ketua jurulatih San Antonio FC, Alen Marcina.

Dimaklumkan, Jordan diikat oleh San Antonio FC secara pinjaman untuk musim 2022 daripada Accra Lions FC. Bagaimanapun, tiada sebarang terma-terma lain mengenai perpindahan ini didedahkan sebagaimana polisi perjanjiannya.

Untuk pengetahuan semua, sepak mula saingan USL Championship 2022 dijadualkan pada minggu ini. Jordan berpeluang untuk melakukan debut bersama San Antonio FC dalam perlawanan pertama bertemu Detroit City, Sabtu nanti.

Baca: Pertahanan Muda Selangor Sertai Kelab Amerika Syarikat, San Antonio FC

Sebagai rekod, Jordan diikat oleh pasukan simpanan, Selangor FC 2 daripada Accra Lions FC secara pinjaman bermula Januari tahun lalu untuk beraksi dalam saingan Liga Premier. 

Namun, Jordan berjaya menampilkan prestasi yang memberangsangkan sehingga menembusi pasukan utama, Selangor FC. Dia juga berjaya meraih kepercayaan barisan kejurulatihan untuk menjadi tonggak pasukan sehingga ke penghujung saingan Liga Super dan Piala Malaysia 2021.

Featured Image: San Antonio FC / Selangor FC

komen