Artikel

Liridon, Nathaniel Disenaraikan Pan-gon Untuk Hadapi Singapura & Filipina

Ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengumumkan senarai 30 pemain yang dipanggilnya untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan, pada hari ini.

Kem latihan pusat itu akan bermula Isnin hadapan dan antara pemain yang mencuri perhatian disenaraikan oleh jurulatih kelahiran Republik Korea itu ialah Liridon Krasniqi yang kini beraksi bersama kelab India, Odisha FC.

Selain itu, jurulatih berusia 52 tahun ini turut menyenaraikan 14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk pemain muda kacukan Malaysia-China yang lahir England, Nathaniel Shio Hong Wan.

Baca: Pemain Naturalisasi, Matdon Tersenarai Dalam ‘Team Of The Week’ Liga Super India

Sementara itu, tiga pemain Selangor FC, Terengganu FC dan Petaling Jaya City FC (PJ City) masing-masing disenaraikan Pan-gon iaitu Khairulazhan Khalid, Quentin Cheng, Sharul Nazeem, Rahadiazli Rahalim, Hakimi Abdullah, Faisal Halim, Kalamullah Al-Hafiz, Kogileswaran Raj dan Darren Lok.

Tidak dilupakan, beliau juga menyenaraikan seorang pemain masing-masing daripada Sabah FC, Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC iaitu Dominic Tan, Khair Jones dan Nor Azam Azih.

Baca: Jurulatih Tempatan Usia 60 Tahun Pilihan Pan-gon Lengkapkan Barisan Kejurulatihan Harimau Malaya

Manakala, baki duanya lagi merupakan pemain yang beraksi di luar negara iaitu Luqman Hakim dan Dion Cools yang merupakan pemain KV Kortrijk dan SV Zulte Waregem masing-masing.

Menurut kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kesemua 30 pemain ini akan menjalani latihan skuad kebangsaan ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selama lapan hari.

Selepas itu, mereka akan berangkat ke negara jiran tetangga, Singapura untuk menghadapi dua perlawanan antarabangsa menentang pasukan tuan rumah, Filipina serta Albirex Niigata masing-masing pada 23, 26 dan 28 Mac kelak.

Featured Image: Odisha FC / JOHOR Southern Tigers

komen