Kejuaraan Futsal AFF: Pemain Selangor MAC, Pahang Rangers Dominasi Kem Latihan Skuad Kebangsaan
March 11, 2022 Hafizuddin Omar

Seramai 11 pemain daripada pasukan juara dan naib juara saingan Malaysia Futsal Premier League (MPFl) 2022 disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat skuad futsal kebangsaan menjelang saingan Kejuaraan Futsal AFF 2022.

Senarai pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih, Chiew Chun Yong itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi satu makluman rasmi yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, hari ini.

Daripada 11 pemain itu, lima pemain datangnya daripada pasukan juara, Selangor MAC seperti Ekmal Shahrin (penjaring terbanyak MPFL setakat ini, 14 gol), Azrul Hadee, Syawal Sabaruddin, Khairul Effendy dan Azwann Ismail.

Sementara itu, enamnya lagi merupakan pemain pasukan naib juara MPFL, Pahang Rangers iaitu Ridzwan Bakri (penjaring ketiga terbanyak MPFL setakat ini, 12 gol), Abu Haniffa, Saiful Nizam, Farikh Khabibor, Yazid Kamaruzaman dan Farhan Khairul.

Manakala baki sembilannya lagi merupakan pemain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur City, Selangor TOT United dan TRW Kelantan FC.

Untuk makluman semua, kem latihan pusat skuad kebangsaan ini akan bermula pada Rabu hadapan (16 Mac) bertempat di Arena Futsal, Wisma FAM, Kelana Jaya.

Kejuaraan Futsal AFF: Malaysia Diundi Bersama Juara Bertahan Dalam Kumpulan A

Daripada 20 pemain yang dipanggil, hanya 16 pemain akan dibawa ke Bangkok, Thailand untuk menyertai Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang akan bermula 2 hingga 10 April kelak.

Kejuaraan Futsal AFF 2022 ini juga berperanan sebagai kelayakan ke pentas asia dimana tiga pasukan terbaik akan layak ke saingan Piala Asia Futsal 2022 yang akan berlangsung di Kuwait pada September hadapan.

Mereka dijadualkan terbang ke ibu negara jiran tetangga itu pada 26 Mac nanti. Dimaklumkan, sebelum beraksi di kejuaraan terbabit, skuad futsal kebangsaan akan diuji dengan beberapa perlawanan persahabatan terlebih dahulu di sana.

Featured Image: Selangor MAC & Pahang Rangers FC

Komen