Artikel

Pertahanan Kacukan, Daniel Ting Berpisah Dengan KL City Kerana Tak Mahu Divaksin

Pelbagai spekulasi timbul selepas pertahanan kacukan England-Malaysia, Daniel Ting dimaklumkan tidak kembali bersama pasukannya, Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk mengharungi saingan musim 2022.

Menurut laporan akhbar berbahasa inggeris tempatan, New Straits Times, ‘punca sebenar’ bek kiri berusia 29 tahun itu tidak pulang ekoran menolak untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Abdul Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam di dalam ucapannya semasa kongres persatuan itu, semalam.

Baca: Selangor Akui Cuba Dapatkan Khidmat Pertahanan Kacukan Malaysia-England Sebelum Ini

“Daniel tidak mahu divaksin, dan dia sekarang berada di UK (United Kingdom). Dia telah meninggalkan KL City,” kata Khalid seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Khalid turut mengesahkan pemain kelahiran Cheshire, England itu secara rasminya berpisah dengan pasukan juara Piala Malaysia 2021 ini.

Sebelum ini, ‘kehilangan’ Daniel ini dikaitkan dengan pemain itu bakal menyertai pasukan lain dalam saingan Liga Super pada musim ini. Ianya selepas Daniel mempamerkan prestasi yang memberasangkan sebagai bek kiri dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu.

Kekosongan bek kiri yang ditinggalkan oleh Daniel itu diisi oleh seorang lagi pemain kacukan baharu yang ditandatangani oleh KL City iaitu Declan Lambert yang merupakan kembar kepada pemain tengah mereka, Ryan Lambert.

Featured Image: Kuala Lumpur City

komen