Teka-teki mengenai sebuah lagi pasukan yang akan menyertai Kumpulan I bagi saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 – yang turut dihuni oleh juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) – telah terjawab pada hari ini.
Pasukan tersebut adalah naib juara Liga Korea atau dikenali sebagai K-League, Ulsan Hyundai. Mereka tampil mengisi slot Kumpulan I setelah menumpaskan wakil Thailand, Port FC dalam perlawanan kelayakan yang baru sahaja tamat, sebentar tadi.
Ulsan Hyundai memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Choi Gi-yun, Um Wong-san dan Leo Souza masing-masing pada minit ke-13, ke-83 dan ke-88 permainan. Untuk makluman semua, kemenangan itu dicatatkan di halaman mereka sendiri bertempat di Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu.
Baca: Juara J1 & Kelab Gergasi China Berkampung di Johor Bahru
Dengan kemaraan ke Kumpulan I, Ulsan Hyundai bersama-sama Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC akan terbang ke Johor Bahru untuk mengharungi perlawanan peringkat kumpulan yang akan diadakan secara venue berpusat di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.
Untuk rekod, ini merupakan kali kesepuluh Ulsan Hyundai beraksi di kejohanan paling elit di benua asia. Sebagai tambahan, Ulsan Hyundai adalah juara ACL sebanyak dua kali dimana mereka memenanginya pada tahun 2012 dan 2020.
Featured Image: AFC Champions League