Filipina Tidak Dapat Turunkan Penyerang Bundesliga Hadapi Malaysia
March 21, 2022 Hafizuddin Omar

Skuad kebangsaan Filipina terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat penyerang yang beraksi dalam kancah Bundesliga, Gerrit Holtmann ketika menentang Malaysia, pertengahan minggu ini.

Ianya disebabkan pemain berusia 26 tahun yang mempunyai pertalian darah Filipina menerusi ibunya ini dimaklumkan oleh kelabnya semalam, Vfl Bochum, dijangkiti virus Covid-19.

Ekoran itu, Holtmann bersama-sama dua rakan sepasukannya yang turut dijangkiti Covid-19 di kelab terbabit terpaksa menjalani isolasi sejak beberapa hari lalu.

Baca: Filipina Panggil 5 Pemain Liga Super Untuk Hadapi Malaysia & Singapura

Bagaimanapun, Holtmann dan dua rakannya berada dalam keadaan yang baik dan dijangkan akan menyertai kembali latihan bersama pasukan Vfl Bochum pada penghujung minggu ini sekiranya tidak mengalami sebarang simpton.

Menerusi kemaskini di laman sosial kelabnya, ekoran daripada dijangkiti Covid-19 ini, Gerrit terpaksa menunda debut bersama skuad The Azkals yang sepatutnya diraihnya ketika menentang Malaysia di National Stadium, Singapore Sports Hub pada 23 Mac ini.

Untuk pengetahuan semua, Holtmann telah merekodkan 27 penampilan secara keseluruhan bersama Vfl Bochum pada musim ini. Disamping itu, dia juga telah menjaringkan 4 gol serta mencetak 6 ‘assist’ dalam saingan Bundesliga.

Selain itu, pemain yang lahir Bremen, Jerman ini turut mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad bawah 20 tahun (B-20) Jerman. Antara pasukan yang ditentangnya semasa bersama Jerman B-20 ialah Turki B-20, Belanda B-20, England B-20, Itali B-20 dan Poland B-20.

Featured Image: Vfl Bochum 

Komen