Pemain senior negara, Chan Peng Soon bakal bergandingan buat sementara waktu bersama pemain muda berusia 21 tahun, Toh Ee Wei dalam kategori beregu campuran.
Dan kejohanan pertama yang akan disertai mereka ialah Orleans Masters 2022 – sebuah kejohanan berstatus Jelajah Super 100 BWF – yang bakal berlangsung di Perancis bermula 29 Mac hingga 3 April kelak.
Untuk makluman semua, nama mereka telah disenaraikan untuk menyertai kejohanan tersebut serta diletakkan sebagai piliha kelima untuk menjuarai kejohanan ini sepertimana ‘M&Q Report’ yang dimuat naik oleh laman Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Baca: Chan Peng Soon Bentuk Gandingan Sementara Bersama Toh Ee Wei
Untuk makluman semua, sejak kembalinya Peng Soon ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain berusia 33 tahun ini digandingkan bersama Veleree Siow bermula Januari lalu.
Bersama Valeree yang berusia 20 tahun, mereka telah beraksi di dua kejohanan setakat ini iaitu Terbuka India (Jelajah Dunia Super 500) dan kejohanan Antarabangsa Syed Modi (Jelajah Dunia Super 300) dimana kedua-duanya berakhir di peringkat suku akhir dan Pusingan 16 masing-masing.
Bagaimanapun, pihak kejurulatihan terpaksa memisahkan mereka buat sementara waktu kerana ingin memberikan tumpuan kepada gandingan Valeree bersama Low Yeen Yuan dalam kategori beregu wanita yang kini telah memasuki kelompok 100 terbaik dunia.