Selangor FC 2 Rekrut Pertahanan 1.90 Meter, Richmond Tetteh Dari Ghana
March 24, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan simpanan berpangkalan di Lembah Klang, Selangor FC 2 memaklumkan pertahanan import berketinggian 1.90 meter (m), Richmond Tetteh kelahiran Ghana menjadi rekrut baharunya, pada hari ini.

Pemain yang berusia 22 tahun ini didatangkan oleh skuad simpanan Red Giants dari Accra Lions FC bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Jordan Ayimbila yang ‘berhijrah’ ke kelab yang berpangkalan di Amerika Syarikat, San Antonio FC.

Dimaklumkan, Richmond telah menjalani sesi latihan di kem Selangor FC sebelum diserap masuk ke Selangor FC 2. Richmond diletakkan di dalam pasukan ini terlebih dahulu bagi menyesuaikan diri dengan kancah bola sepak tanah sebelum beraksi di peringkat yang lebih tinggi bersama Selangor FC.

Baca: Pertahanan Muda Selangor Sertai Kelab Amerika Syarikat, San Antonio FC

Untuk pengetahuan semua, Richmond yang beraksi sebagai pertahanan tengah bukan sahaja memiliki kelebihan daripada segi fizikal dan kemampuan di atas padang. Malahan, dia juga mempunyai kualiti daripada segi aspek kepimpinan membolehkan dia memakai lilitan kapten pasukan Accra Lions sebelum ini. 

Selain itu, Richmond memainkan peranan penting dalam membantu Accra Lions merangkul kejuaraan dalam saingan divisyen kedua bola sepak Ghana pada musim lalu. Kejuaraan itu membolehkan kelabnya mendapat promosi ke saingan tertinggi – Ghana Premier League pada musim ini.

Ketua jurulatih pasukan utama Selangor FC, Michael Feichtenbeiner cukup teruja dengan kehadiran pemain ini dan mendedahkan dia telah memantau perkembangan Richmond dalam saingan bola sepak Ghana selama dua musim lalu.

Featured Image: Accra Lions Football Club

Komen