Episod kejutan yang dicipta oleh skuad kebangsaan Macedonia Utara menyingkirkan Itali pada perlawanan separuh akhir play-off minggu lalu tidak berulang terhadap Portugal.
Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes memastikan Portugal berjaya mencetak kemenangan ke atas Macedonia Utara dalam perlawanan akhir play-off yang berlangsung awal pagi tadi, waktu Malaysia.
Baca: PM Macedonia Utara Beri RM2.3 Juta Jika Kalahkan Portugal & Layak Ke Piala Dunia
Kemenangan itu berpunca daripada dua jaringan olehnya pada separuh masa pertama dan kedua. Jaringan pertamanya hadir hasil ‘assist’ daripada rakan sepasukannya di Man Utd, Cristiano Ronaldo.
Manakala gol keduanya yang merupakan voli tercipta selepas menyudahkan lambungan cantik dari kiri oleh pemain Liverpool, Diogo Jota. Tiada sebarang jaringan balas oleh Macedonia Utara dan perlawanan ini berkesudahan dengan Portugal meraih kemenangan 2-0.
Kemenangan ini juga melayakkan Portugal ke saingan Piala Dunia 2022 Qatar yang akan berlangsung pada penghujung tahun ini. Sebagai rekod, Portugal yang merupakan juara Euro 2016 telah tampil di pentas Piala Dunia sebanyak tujuh kali.
Featured Image: Selecoes de Portugal